DBKL perjelas isu tunggakan bil air

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menjelaskan tentang tunggakan bil air yang dikeluarkan semula secara berperingkat mulai Mac 2019 kepada semua unit Perumahan Awam (PA) Projek Perumahan Rakyat (PPR) DBKL, termasuk di PA Sri Kelantan.

DBKL, dalam satu kenyataan, memaklumkan terdapat masalah teknikal dalam sistem berkomputer mereka yang melibatkan proses bacaan meter dan pengeluaran bil air terjejas sekali gus mengakibatkan penyata tunggakan tidak dikeluarkan.

“Kami mengeluarkan bil air dengan anggaran purata RM25 sebulan bermula 2011 hingga 2014, dan mulai 2015 keluaran bil air setiap bulan adalah mengikut bacaan sebenar penggunaan air oleh penduduk.

“Setelah pengiraan semula dibuat atas bacaan meter sebenar untuk tahun itu, didapati penggunaan air oleh penduduk ada melebihi RM25, dan tetap dikenakan caj sama tanpa tambahan. Malah, bagi penggunaan air kurang dari itu, kami selaraskan dan batalkan semula lebihan caj dikenakan,” menurut kenyataan itu.

Ahad lalu, sebilangan penduduk PA Sri Kelantan mendakwa menerima tunggakan bil air dengan jumlah yang tinggi dan tidak masuk akal secara tiba-tiba mulai awal tahun ini.

Dalam pada itu, DBKL sedang melaksanakan perbincangan berperingkat dengan semua wakil persatuan penduduk PA/PPR DBKL dan wakil Majlis Perwakilan Penduduk bagi setiap Parlimen mengenai cadangan untuk memaklumkan kepada semua penduduk berkenaan jumlah tunggakan bil air yang masih belum dijelaskan.

“Susulan itu, kami mengeluarkan surat pemakluman jumlah tunggakan berperingkat dan menjemput semua penduduk hadir semasa Hari Bertemu Pelanggan (HBP) pada Sabtu dan Ahad di kawasan perumahan masing-masing.

“HBP dilaksanakan bagi memudahkan penduduk untuk menyemak dan mengesahkan jumlah tunggakan bil air tanpa perlu hadir ke pejabat DBKL serta melakukan perundingan untuk membuat bayaran secara ansuran mengikut garis panduan ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, DBKL masih membuka pintu rundingan kepada semua penduduk PA Sri Kelantan, dan belum bercadang melaksanakan apa-apa tindakan penguatkuasaan bagi mengutip tunggakan bil air dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, DBKL menggalakkan penduduk menjelaskan tunggakan bil air secara ansuran mengikut kemampuan tertakluk kepada garis panduan yang diguna pakai agensi itu, katanya. -Bernama