MPI, MPOB bakal meterai MoU dengan Tsinghua University

A
A

PETALING JAYA - Kementerian Industri Utama (MPI) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Tsinghua University, China berhubung penyelidikan minyak sawit sebagai biofuel.

Menterinya Teresa Kok Suh Sim berkata menerusi MoU tersebut, China akan meningkatkan import minyak sawit dari Malaysia.

“Kami berharap akan mendapat hasil yang positif daripada MoU ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri demonstrasi memasak bersempena kempen Sayangi Minyak Sawitku di sini, hari ini.

Kok berkata, selain itu kementeriannya telah berbincang dengan pemilik kedai untuk mempamer dan menjual lebih banyak minyak sawit merah berikutan permintaan yang meningkat terhadap produk itu.

“Sejak kempen itu bermula, apabila Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) berkata satu sudu besar minyak sawit merah adalah baik untuk kesihatan, ramai yang bertanya di mana untuk mendapatkannya. Bagaimanapun, ia sukar untuk ditemui di kebanyakan kedai runcit.

“Saya telah berbincang dengan mereka (pemilik kedai) untuk mempromosi minyak sawit merah dan pada masa yang sama, mempromosi kempen Sayangi Minyak Sawitku,” katanya.

Minyak sawit merah merupakan minyak sawit gred tertinggi kerana tinggi antioksidan seperti beta karotena dan likopen, selain tokotrienol iaitu satu bentuk vitamin E.

Kok berkata rakyat Malaysia perlu memahami manfaat minyak sawit dan menyukainya terlebih dahulu berbanding orang asing, khususnya rakyat Eropah yang sedia maklum mengenai kepentingannya.

Beliau berkata Malaysia berdepan kritikan daripada Eropah mengenai minyak sawit dan adalah suatu cabaran untuk mengubah pemikiran tersebut.

“Minyak sawit merupakan penyumbang ekonomi utama ketiga kepada Malaysia dan ia kaya dengan kebaikan yang masih ramai yang tidak tahu,” katanya. -Bernama