Pupuk budaya keusahawanan dari sekolah

Sebahagian para pelajar merakamkan gambar kenangan selepas tamatnya Program MASMED di UiTM Kampus Raub, di sini hari ini.
Sebahagian para pelajar merakamkan gambar kenangan selepas tamatnya Program MASMED di UiTM Kampus Raub, di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Budaya keusahawanan hendaklah dipupuk sejak awal lagi iaitu bermula di peringkat sekolah dan universiti dengan memperbanyakan program-program perniagaan di dalam pembelajaran.

Pengarah program, Ilyani Azer berkata, penerapan nilai keusahawanan itu diselitkan dan dipratikkan kepada anak muda akan dapat membentuk penuntut sebagai pencipta kerja yang berpotensi dan bukan sekadar sebagai pencari kerja.

Menurutnya, dengan program tersebut, ia dapat membantu murid atau pelajar membudayakan kemahiran inovasi dalam kehidupan sebagai usahawan berjaya pada masa hadapan

"Pendidikan keusahawanan hari ini perlu diberi perhatian serius dan merupakan komponen penting dalam menjana masyarakat Malaysia yang kreatif dan berinovasi.

"Bidang keusahawanan dan inovasi juga sangat signifikan dalam membantu meningkatkan kebolehpasaran siswazah atau lulusan institusi pengajian tinggi yang seterusnya memenuhi hasrat kerajaan dalam melahirkan masyarakat yang progresif dan berpendapatan tinggi," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Program Malaysian Academy of SME & Entrepreneurship Development (MASMED) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub di sini hari ini.

Program tersebut berjaya menarik seramai 665 penyertaan yang telah dirasmikan oleh Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan dan Industri UiTM cawangan Pahang, Dr Badli Esham Ahmad.

Ilyani berkata, dengan menerapkan program keusahawanan dan inovasi, ia merupakan satu opsyen yang realistik untuk penuntut mempunyai kemahiran vokasional dan teknikal, namun kebanyakan orang masih kurang melihat bidang keusahawanan sebagai satu alternatif kerjaya yang harus diceburi.

Menurutnya, dengan adanya program yang dianjurkan, pihaknya dapat meneruskan kelangsungan pembangunan usahawan bumiputera di Malaysia yang lebih kompetitif dan kritis

Artikel Berkaitan:

"Justeru antara komponen keusahawanan yang diperkenalkan melalui aktiviti program seumpama ini serta dalam modul pembelajaran ialah membolehkan pelajar berdikari dan menonjolkan potensi diri secara praktikal ke arah menjadi seorang usahawan berjaya.

"Selain itu, ia akan meluaskan pemahaman dan mengamalkan prinsip asas perniagaan dan keusahawanan supaya boleh bertindak sebagai seorang pengguna atau pengeluar sejajar dengan nilai dan etika peniagaan.

"Program ini juga untuk memberikan gambaran awal kepada para mahasiswa mengenai kepentingan membudayakan inovasi dalam bidang keusahawanan," katanya.

Tambahnya, pendedahan nilai keusahawanan jika diterapkan kepada anak-anak muda juga menyemai sifat kreatif, inovatif, suka berusaha, jujur, bekerjasama dan mengamalkan cara kerja bersistem yang selamat, sihat dan bertanggungjawab.