SKM lancar Karnival Jualan Koperasi Aidilfitri

Wan Suraya (baju putih) bersama wakil koperasi yang terlibat dalam penyerahan zakat perniagaan yang diadakan di Tamarind Square, Cyberjaya hari ini.
Wan Suraya (baju putih) bersama wakil koperasi yang terlibat dalam penyerahan zakat perniagaan yang diadakan di Tamarind Square, Cyberjaya hari ini.
A
A
A

CYBERJAYA - Kementerian Pembangunan Usahawan akan mengkaji bagaimana inisiatif karnival jualan harga patut dapat dijalankan secara meluas di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, promosi harga jualan barangan keperluan asas dilihat mendapat sambutan yang menggalakkan.

Menurutnya, penganjuran pasar kolektif seperti karnival jualan ini memberi peluang kepada koperasi memasarkan produk terus kepada pengguna dan pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan.

"Kita bukan hanya melibatkan koperasi tetapi pelbagai agensi lain sekaligus menyampaikan maklumat kepada orang ramai tentang usaha kerajaan mentransformasikan koperasi kepada satu entiti perniagaan yang lebih efisyen meningkatkan pendapatan anggotanya tanpa mengorbankan nilai-nilai, prinsip dan falsafah koperasi.

"Kerajaan juga menggalakkan dan memberi sokongan kepada koperasi-koperasi yang menjalankan aktiviti pengguna," katanya sempena Pelancaran Karnival Jualan Koperasi Aidilfitri 2019 di Tamarind Square, Cyberjaya hari ini.

Wan Suraya berkata, perlaksanaan Kedai Harga Patut oleh koperasi-koperasi melalui jalinan kerjasama antara koperasi-koperasi sedang dilaksanakan.

Jelasnya, pelbagai produk turut dijual dengan harga rendah menanti pengunjung dan mereka boleh membeli tanpa had.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nordin Salleh berkata, terdapat 42 ruang pameran koperasi yang menjual pelbagai barangan keperluan hari raya seperti baju raya, kuih raya dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, karnival yang bermula jam 10 pagi dan berakhir malam 10 malam itu menyasarkan seramai 10,000 orang akan mengunjungi karnival itu.

Dalam pada itu, penyerahan zakat perniagaan oleh koperasi di Wilayah Persekutuan tahun 2019 yang keseluruhannya berjumlah RM2,530,305.98 bagi 13 koperasi turut diadakan.

Antaranya termasuklah Koperasi Polis DiRaja Malaysia Berhad, Koperasi Telekom Malaysia Berhad, Koperasi Shamelin Berhad, Koperasi Kakitangan Felda Malaysia Berhad dan Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad.

Karnival jualan selama tiga hari yang berkonsepkan Jualan Aidilfitri melibatkan penyertaan daripada Gerakan Koperasi dari Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan yang mempunyai produk untuk diketengahkan bagi membantu masyarakat membuat persiapan Aidilfitri dengan harga yang berpatutan.