Masjid India Johor pertama sedia khidmat mesin ATM beras

Tunku Idris (dua,kiri) menerima satu bungkusan beras dari Khairil untuk diisi ke dalam mesin ATM berkenaan sebagai gimik pelancaran majlis di Masjid India hari ini.
Tunku Idris (dua,kiri) menerima satu bungkusan beras dari Khairil untuk diisi ke dalam mesin ATM berkenaan sebagai gimik pelancaran majlis di Masjid India hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Masjid India di sini menjadi lokasi pertama di Johor yang memiliki dan menyediakan khidmat mesin ATM beras secara percuma buat golongan asnaf.

Mesin tujuan amal yang dijangka memberi manfaat kepada ribuan golongan asnaf sekitar bandar raya itu telah disumbangkan Sunway Group dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Iskandar, Gerard Soosay berkata, sebanyak 600 kilogram beras turut disumbangkan pihaknya sebagai usaha permulaan untuk keberkesanan mesin terbabit di masa akan datang.

“Semangat memberi semula kepada masyarakat sentiasa mekar dalam budaya korporat Sunway. Sesungguhnya kami juga amat gembira kerana dapat menjadi badan korporat yang menyediakan mesin ATM beras pertama di negeri Johor.

“Seiring dengan pelancaran mesin ini, kita juga telah menyerahkan sejumlah kad RFID kepada pihak berkenaan bagi disalurkan kepada kepada penerima yang layak.

“Pemegang kad yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan asnaf ini pula kemudiannya boleh mengambil satu kilogram beras di mesin ini pada setiap hari Jumaat,” katanya pada Majlis Pelancaran Mesin ATM beras pertama Johor di Masjid India di sini hari ini.

Majlis telah disempurnakan, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim yang mana turut dihadiri Pengarah Sunway Iskandar, Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad.

Dalam perkembangan sama, Gerard berkata, selain di Johor, beberapa lagi mesin ATM beras berkenaan juga akan disumbangkan ke negeri-negeri lain sempena program Sunway For Good Raya 2019 yang dianjurkan kumpulan syarikat korporat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Untuk program ini, kita mempunyai perancangan untuk menyumbangkan sebanyak lapan mesin ATM beras di seluruh Malaysia yang mana mesin pertamanya telah dipasang di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah pada 13 Mei lalu.

“Dalam usaha yang sama, kita juga menyasarkan untuk memberi sumbangan lebih 6,000 kilogram beras kepada golongan yang layak menerima bantuan,” katanya.