50 masjid, surau di Bentong terima sumbangan

Wong tack (tiga dari kanan) bersama barisan kepimpinan ADUN-ADUN Parlimen Bentong merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian penerima sumbangan masjid dan surau daerah Bentong di Pejabat Parlimen Bentong, di sini semalam.
Wong tack (tiga dari kanan) bersama barisan kepimpinan ADUN-ADUN Parlimen Bentong merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian penerima sumbangan masjid dan surau daerah Bentong di Pejabat Parlimen Bentong, di sini semalam.
A
A
A

BENTONG - Keprihatinan wakil rakyat Parlimen Bentong terhadap pembangunan masjid dan surau, program penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau sekitar daerah Bentong berlangsung di sini semalam.

Sebanyak RM66,000 diberikan kepada 30 buah masjid dan 20 surau sekitar DUN Bilut, manakala sumbangan untuk surau DUN Ketari telah diagihkan sebelum ini yang mendapat kerjasama dari Jabatan Agama Islam Daerah Bentong.

Selain masjid dan surau penduduk, turut menerima sumbangan termasuk surau bawah kelolaan jabatan dan agensi kerajaan seperti Surau Balai Bomba Bentong, Surau SMK Lurah Bilut dan Surau Hospital Bentong.

Bagi Pengerusi Masjid Al-Falahi FELDA Lurah Bilut, Abdul Mutalib Abu Bakar berkata, pihaknya amat menghargai sumbangan yang disalurkan oleh Pejabat Parlimen Bentong dan ADUN Bilut

Menurutnya, dengan sumbangan tersebut, pihaknya dapat menganjurkan lebih banyak program di masjid berkenaan sempena Ramadan.

“Masjid Al-Falahi adalah sebuah masjid yang begitu aktif, malah sepanjang Ramadan ini kami mempelawa beberapa pelajar tahfiz berdekatan untuk menjadi imam solat tarawih.

"Untuk menarik minat ramai untuk mengimarahkan masjid dan menambah jemaah solat, kita menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma selama sebulan.

"Kamk juga ada menganjurkan program pemberian bubur lambuk secara percuma untuk diagihkan kepada masyarakat setempat," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir sama, Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack, ADUN Bilut, Lee Chin Chen, ADUN Ketari, Young Syefura Othman, Penyelaras DUN Pelangai, Nor Haizan Abu Hassan, Penyelaras Parlimen Bentong, Dasimah Zainudin dan Timbalan Kadi Daerah Bentong, Mohamad Zainuddin Zakaria.

Dalam pada itu, wakil penerima daripada Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Bentong, Mohammad Zamir Izzat Nasir Avetton berkata, sumbangan yang diperoleh sedikit sebanyak dapat membantu menampung perbelajaan pengurusan surau seperti penyediaan kain pelikat dan belanja kos juadah berbuka puasa.

“Walaupun kami ada menyumbang kepada tabung surau yang dikutip daripada setiap anggota, tetapi sumbangan ini dapat menampung kos lain untuk kegunaan jemaah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack berkata, dirinya merasakan Ramadan merupakan bulan yang sangat baik apatah lagi masyarakat berbilang kaum dapat bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa walaupun berlainan kepercayaan.

Menurutnya, Parlimen Bentong juga telah banyak menyalurkan sumbangan untuk pembaikan surau dan masjid yang mengalami kerosakan di daerah ini

“Saya harap semua maklum sebagai wakil rakyat, saya bukanlah wakil parti tetapi saya bekerja untuk semua golongan tidak mengira mana-mana parti politik.

"Walaupun apa yang saya sumbangkan tidak sebesar mana, tetapi saya begitu begitu gembira kerana dapat menjalinkan hubungan baik dengan pentadbiran masjid dan surau kerana saya ingin terus bekerja demi rakyat,” katanya.

"Saya juga berharap agar masjid dan surau tidak menjadi medan politik kerana agama adalah perkara yang suci dan institusi agama merupakan medan untuk masyarakat meneruskan kehidupan secara harmoni dan bersatu padu," katanya.