KPKT sahkan baju kalis api bomba selamat digunakan

Zuraida. - FOTO SINAR HARIAN
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengesahkan baju kalis api untuk kegunaan anggota bomba adalah selamat digunakan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pengujian baju kalis api telah dijalankan di makmal Manchester, United Kingdom yang diiktiraf oleh United Kingdom Accreditation Service (UKAS) pada 15 Mei 2019.

“Pengujian ini bertujuan untuk menentukan sama ada baju kalis api yang dibekalkan oleh kontraktor adalah mematuhi spesifikasi teknikal dalam kontrak perjanjian.

“Hasil pengujian tersebut menunjukkan bahawa baju kalis api tersebut adalah selamat digunakan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Januari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang menyiasat bekalan baju kalis api yang "tidak selamat" kepada pasukan bomba di seluruh negara.

SPRM mengulas laporan media tempatan yang menyebut baju kalis api itu dibuat daripada bahan plastik mudah terbakar, polyester.

SPRM telah menghantar contoh baju kalis api yang dibekalkan oleh kontraktor itu kepada Jabatan Kimia dan mengesahkan baju tersebut tidak selamat digunakan kerana tidak mengikut standard yang telah ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Sehubungan ini, Zuraida berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia segera mengagihkan 6,000 baju kalis api tersebut untuk kegunaan anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia di seluruh negara.

“Dengan ini saya ingin memperbetulkan kenyataan dan laporan media sebelum ini,” katanya.