Rakyat Malaysia harus sentiasa usaha hulur bantuan: Wan Azizah

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Kod QR untuk Yayasan Kebajikan Negara dengan Penggunaan Aplikasi E-Dompet Boost hari ini. Foto: Bernama
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Kod QR untuk Yayasan Kebajikan Negara dengan Penggunaan Aplikasi E-Dompet Boost hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia tidak seharusnya menunggu hari-hari tertentu, contohnya seperti bulan puasa atau Hari Raya, mahupun semasa krisis atau di waktu kecemasan; untuk menghulur bantuan kepada yang memerlukan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata orang ramai sebaliknya harus sentiasa berusaha sedaya upaya untuk membantu pada bila-bila masa, dan ia tidak semestinya dalam bentuk wang semata-mata.

"Bantu kelas-kelas tuisyen buat pelajar miskin, membaca kepada mereka yang hilang penglihatan, atau santuni warga emas di pusat-pusat jagaan.. semua ini adalah antara cara untuk menyumbang kepada masyarakat.

"Namun begitu, memanglah sumbangan dalam bentuk wang sentiasa digalakkan,” katanya semasa berucap di majlis "E-donation” Boost di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Axiata Group Berhad Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat bagaimanapun mengakui bahawa rakyat Malaysia secara umumnya bersifat penyayang dan murah hari. Dr Wan Azizah berkata perkara itu dapat dilihat daripada sokongan hebat dan semangat murah hati yang ditunjukkan, menerusi sumbangan kepada Tabung Harapan Malaysia, di mana individu dan juga syarikat-syarikat besar, turut bersama menyumbang lebih RM202 juta bagi membantu untuk membayar hutang negara yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini.

Dalam nada yang sebak, beliau turut berkongsi pengalaman sendiri semasa jiran-jirannya datang membantu beliau di saat-saat sukar yang diharunginya semasa suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara.

Dr Wan Azizah berkata semasa lanskap ekonomi Malaysia beralih kepada ekonomi berasaskan inovasi, teknologi memainkan peranan penting dalam membantu hasrat rakyat untuk menghulur sumbangan, memupuk inklusif dan meningkatkan kebajikan sosial dalam membina komuniti dan negara.

"Bukan sahaja teknologi membantu mewujudkan akses kepada perkhidmatan yang cekap, ia juga memberikan lebih banyak peluang kepada kita untuk menunjukkan rasa belas kasihan, membantu dalam menjayakan perjuangan kita di samping mewujudkan tanggungjawab sosial bersama budaya menyumbang," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Dr Wan Azizah berkata penampilan aplikasi e-donation Boost secara ‘built-in’ adalah satu contoh hebat bagaimana teknologi dapat memainkan peranan dalam menggerakkan rakyat untuk menjadi lebih bertanggungjawab secara sosial, membantu menyemai tabiat menyumbang kepada masyarakat dan bekerja ke arah kebaikan bersama. Dr Wan Azizah berkata dalam tempoh setahun pelancaran e-donation, sejumlah RM317,000 telah berjaya dikumpulkan menerusi platform Boost, yang memberi manfaat kepada 32 pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, badan-badan kebajikan dan sebagainya.

Katanya beliau berharap di masa hadapan aplikasi itu akan dapat dikembangkan lagi bagi membolehkan lebih banyak entiti korporat besar, dan juga syarikat-syarikat kecil dan sederhana, turut sama menyumbang.

Aplikasi Boost membolehkan pengguna menghulur sumbangan berbentuk wang menerusi telefon bimbit mereka di lokasi-lokasi tertentu yang mengambil bahagian, tanpa perlu bersusah payah menggunakan wang atau kad. -Bernama