Kerjasama dengan City tidak jejas usahasama bersama JFA

No Image Caption
A
A
A

JALINAN kerjasama bersama juara Liga Perdana Inggeris 2019, Manchester City (City) tidak mendatangkan kesan negatif kepada usahasama dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) dan pembangunan bola sepak dalam peta hala tuju F:30 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sebaliknya, Setiausaha Agung FAM. Stuart Ramalingam menyifatkan jalinan kerjasama terbaru itu sebagai satu perkhabaran positif.

Beliau berkata FAM sentiasa menyambut baik segala usaha meningkatkan prestasi bola sepak negara dan akan memastikan kelancaran pelaksanaan dua jalinan kerjasama itu menerusi perbincangan lanjut bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Pada mesyuarat akan datang, saya pasti KBS akan memaklumkan kepada FAM hasil perbincangan dan apa ditawarkan City. Tidak bermaksud apabila kita ada jalinan bersama Jepun, kita tidak boleh buat perkara sama dengan pasukan atau negara lain.

"Adalah terbaik untuk mempunyai sebanyak mungkin pilihan bagi bola sepak Malaysia. Ini tidak bermakna apabila pemain kita pergi ke Jepun, kita akan memainkan falsafah Jepun atau guna pakai falsafah Pep Guardiola apabila ke City. Akhirnya kita mempunyai gaya bola sepak ala Malaysia,” katanya. " Menyerap input City ke dalam Akademi Mokhtar Dahari (AMD) tidak bermakna AMD diambil alih sepenuh oleh City. Saya pasti ia hanya pilihan untuk menimba pengalaman struktur kelab tersebut untuk pemain kita,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Satu pertemuan antara Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan delegasi City diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Ferran Soriano berlangsung di Menara KBS di Putrajaya, Khamis lepas.

Antara hasil pertemuan menjadi perhatian adalah kemungkinan pemilik City menerusi City Football Group membeli salah sebuah kelab di Malaysia.

Selain itu, dari perspektif KBS, Syed Saddiq berharap kerjasama itu juga akan dapat memberi impak positif kepada pembangunan belia, melalui Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) dan AMD di Gambang, Pahang.

Artikel Berkaitan:

Stuart menjelaskan FAM sudah dimaklumkan mengenai pertemuan itu, namun tiada wakil FAM dalam perbincangan tersebut. "Makluman mengenai pertemuan itu memang ada tetapi kita (FAM) tidak terlibat...tiada isu utama untuk kami kerana lambat laun kita akan pasti menemui KBS dan hal ini akan dibincangkan. Tidak semestinya semua pertemuan di mana menteri bercakap mengenai topik bola sepak, FAM kena ada,” kata Stuart.

Sebagai rekod, FAM pada 5 April lepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan JFA bagi mewujudkan rangka kerja bagi mengukuhkan kerjasama teknikal, pembangunan belia dan kejurulatihan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini, dipetik sebagai berkata kerjasama bersama JFA akan membuka ruang pembangunan demi kepentingan bersama termasuk bola sepak wanita, futsal serta pentadbiran, pengkomersialan dan penajaan pendapatan. - Bernama