Kementerian Kewangan tamatkan kontrak SSER bernilai RM9.4 bilion

A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan menamatkan kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang diberikan kepada Projek Suria Synergy Energy Resources Sdn Bhd (SSER) bernilai RM9.4 bilion.

Kontrak tersebut berkaitan dengan projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM10.4 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan sedang berunding dengan pihak kontraktor bagi menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh SSER termasuk jumlah bayaran yang telah dibuat dan perlu dipulangkan semula oleh kontraktor kepada SSER.

"Jabatan Peguam Negara mewakili Kerajaan Malaysia dalam rundingan tersebut dan akan mengesyorkan langkah seterusnya.

"Kontraktor-kontraktor yang terlibat adalah China Petroleum Pipeline Engineering Company Ltd (CPPE) dan Huanqiu Project Management (Beijing) Co Ltd (HQPMC)," katanya menerusi satu kenyataan, di sini hari ini.

Pada 5 Julai 2018, Kementerian Kewangan telah menggantung kerja dan perkhidmatan SSER, yang diberi mandat melaksanakan projek MPP dan TSGP.

Kontrak bagi projek MPP dan TSGP dianugerahkan kepada CPPE pada 1 November 2016.

SSER dikatakan sudah membuat bayaran sebanyak RM8.3 bilion ataupun 88 peratus daripada kos pembinaan RM9.4 bilion, walaupun kemajuan kerja yang belum diaudit pada ketika itu dianggarkan pada tahap 13 peratus.

Projek itu sangat menguntungkan para kontraktor kerana pembayaran telah dibuat berdasarkan kepada kemajuan tempoh dan bukannya kemajuan kerja.

Terma kontrak tersebut yang diluluskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa terlalu memihak kepada kontraktor sehingga merugikan kerajaan kerana kontraktor dibayar walaupun kerja tidak disiapkan.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan dua saman terhadap SSER pada 15 Januari lalu kerana enam pelanggaran di bawah Seksyen 214 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

"Pada April lalu, Mahkamah Sesyen telah mendenda SSER sebanyak RM3 juta bagi setiap kesalahan dan SSER sudah membayar semua denda yang dikenakan iaitu sebanyak RM18 juta," katanya.