Wakil rakyat ke masjid bukan untuk berpolitik, kata Aziz Bari

Abdul Aziz (tiga, kanan) dan Kah Woh (dua, kanan) bersama Ahli Jawatankuasa Masjid As-Sobirin meninjau keadaan kubah masjid tersebut, di sini hari ini.
Abdul Aziz (tiga, kanan) dan Kah Woh (dua, kanan) bersama Ahli Jawatankuasa Masjid As-Sobirin meninjau keadaan kubah masjid tersebut, di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Kehadiran wakil rakyat ke masjid tidak seharusnya dijadikan isu jika mereka datang untuk membantu.

Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari berkata, bukan semua wakil rakyat ke masjid untuk berpolitik sebaliknya mereka menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat.

Menurutnya, kebanyakan wakil rakyat menyedari kawasan masjid merupakan kawasan sensitif umat Islam dan mengetahui batas-batas tertentu.

"Zaman pentadbiran lama, jarang wakil rakyat turun ke masjid dan surau. Saya nak jelaskan, ini bukan berpolitik kerana masjid ada aktiviti lain selain solat. Jangan anggap kita datang ke masjid ini nak berpolitik, tidak sebenarnya.

"Orang Islam yang tak pernah datang ke masjid timbulkan persepsi begitu. Kita nak tolong, dia kata berpolitik, inilah masalahnya," katanya kepada pemberita ketika meninjau kerosakan kubah di Masjid As-Sobirin Taman Lahat Baru, di sini hari ini.

Hadir sama meninjau keadaan kerosakan di masjid itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh.

Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi berkata, masjid sebenarnya bukan tempat solat sahaja tetapi pelbagai aktiviti boleh dibuat 24 jam di masjid.

Katanya, disebabkan itu masjid memerlukan bantuan untuk baik pulih dan sebagainya daripada wakil rakyat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, setiap aduan dan laporan kepada wakil rakyat akan dilihat keperluannya sama ada boleh dibantu atau disalurkan kepada pihak berkaitan termasuklah di masjid-masjid.

Sementara itu, Kah Woh berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan kepada masjid berkenaan setelah sebut harga bagi membaik pulih kubah masjid tersebut diperoleh.

Katanya, pihak Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ipoh Timur mempunyai peruntukan tertentu yang boleh disalurkan kepada masjid, surau, sekolah dan lain-lain untuk tujuan menambaik baik kemudahan atau seumpamanya.

"Kita menerima banyak permohonan sumbangan atau bantuan daripada pelbagai pihak termasuk masjid. Memang menjadi amalan kita, setiap permohonan atau aduan itu akan kita turun padang siasat bagi mendapatkan anggaran peruntukan diperlukan.

"Sebahagiannya kita telah berikan kepada masjid dan surau di DUN Tebing Tinggi setelah kita turun padang lihat sendiri keperluan mereka. Selepas Aidilfitri nanti ada lagi masjid yang akan kita berikan sumbangan," katanya.

Dalam pada itu, Kah Woh berkata, selain bantuan kepada masjid dan surau, pihaknya juga turut menyumbang bantuan kepada fakir miskin di DUN Tebing Tinggi menggunakan peruntukan Ahli Parlimen sedia ada.

Katanya, sehingga kini sejumlah RM60,000 telah disumbangkan kepada golongan fakir miskin di kawasan DUN tersebut malah 70 peratus peruntukan Ahli Parlimen Ipoh Timur bagi golongan itu diterima penduduk di DUN Tebing Tinggi.