'Ramai orang Umno boleh pakai'

Khalid Abd.Samad. - Foto Rosli Talib
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Amanah masih kekal dengan pendirian sedia menerima kemasukan mana-mana pemimpin atau ahli Umno ke parti itu meskipun terdapat pemimpin parti komponen PH yang menyatakan pendirian bertentangan.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad, menyifatkan hanya ahli Umno yang terpilih sahaja boleh menyertai mereka bergantung kepada tapisan yang dibuat.

"Ahli Umno itu kita pilihlah..ramai yang kat bawah, ahli-ahli Umno ini yang boleh dipakai, mana pemimpin-pemimpin, orang yang sudah hilang kepercayaan pada parti Umno dan sebagainya, kita tengoklah, kita 'interview' setiap satu. Janganlah kita terima terus

"Ada pemimpin yang datang jumpa kita beritahu mereka kecewa, nak keluar Umno. Saya cakap, keluar dan jadi bebas dahulu, kemudian kita akan tengok prestasi mereka jika mahu masuk Amanah," katanya ditemui media pada Majlis Penyerahan Operasi GoKL dan Pelancaran Penggunaan B10 Biodiesel bagi kenderaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, hari ini.

Khalid menambah, PH ada menetapkan syarat tertentu berhubung isu lompat parti.

"Kesepakatan PH adalah mereka perlu menjadi pemimpin bebas terlebih dulu, dan bila diterima (sertai parti), mereka tidak boleh memegang apa-apa jawatan dalam tempoh setahun.

"PH ada garis panduan yang ditetapkan untuk setiap parti berhubung perkara ini," katanya.

Sebelum ini beberapa pemimpin Umno mengumumkan keluar parti termasuk Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang telah sah menyertai Bersatu.

Situasi itu menimbulkan rasa kurang senang beberapa pemimpin terutamanya dari DAP dan PKR melahirkan rasa tidak setuju dengan perkembangan itu.