Barang tiruan di bazar Klebang dirampas

PPDNHEP Melaka merampas 1,217 barangan dengan keseluruhan sitaan bernilai RM49,890.
PPDNHEP Melaka merampas 1,217 barangan dengan keseluruhan sitaan bernilai RM49,890.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Tindakan peniaga bazar Adilifitri Klebang yang menjual kasut dan selipar tiruan berjenama akhirnya memakan diri apabila diserbu anggota penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri dalam Op Barang Tiruan, di sini petang semalam.

Dalam operasi bermula jam 5 petang, 16 anggota terdiri daripada pegawai dan penguat kuasa telah membuat serbuan ke atas tiga premis perniagaan di bazar terbabit dan mendapati mereka menjual produk-produk disyaki tiruan dengan pelbagai jenama terkenal.

Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, Muhamad Aizudin Mohd Said berkata, berdasarkan aduan awam dan maklumat risikan, pihaknya berjaya menyita 787 pasang kasut dan selipar berjenama bernilai RM28,390.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan di premis ketiga menyita 430 seluar tiruan berjenama Levi's dengan nilai sitaan RM21,500 dan jumlah keseluruhan barang yang dirampas 1,217 barangan serta nilai keseluruhan sitaan dalam serbuan itu RM49,890.

"Hasil siasatan kita dapati terdapat barang disyaki tiruan seperti kasut, selipar dan seluar yang menggunakan perihal dagangan palsu.

"Sitaan dilakukan di bawah Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011 dan berdepan dengan denda antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap barang diletakkan perihal dagangan palsu bagi kesalahan pertama," katanya.

Op barang tiruan yang dilakukan di Bazar Aidilfitri Klebang.
Op barang tiruan yang dilakukan di Bazar Aidilfitri Klebang.

Menurut Muhamad Aizudin, pihaknya memberi amaran keras tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu yang menjual barangan tiruan khususnya di bazar-bazar raya.

Artikel Berkaitan:

"Pemantauan akan terus dilakukan dan jika pengguna mendapati ada dalam kalangan peniaga yang tidak mematuhi mana-mana peraturan yang telah ditetapkan, pengguna bolehlah menyalurkan aduan melalui talian 1Malaysia One Call Centre (1MOCC) 03 8000 8000 atau Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri ditalian 06 2345822," katanya.