Mokcik nok rumoh selesa...

Abdul Rahim menyerahkan sumbangan kepada Mariam di rumahnya di Badang di sini.
Abdul Rahim menyerahkan sumbangan kepada Mariam di rumahnya di Badang di sini.
A
A
A

KOTA BHARU - Berhujan panas di rumah kecil yang dibina sendiri, seorang ibu tunggal, Mariam Omar, 54 tahun memohon agar dapat memiliki rumah yang lebih selesa untuk didiami bersama empat anaknya.

Mariam yang kematian suami sejak 2007 lalu membina sendiri rumah yang didiaminya sejak lima tahun lalu itu menggunakan papan dan kayu terbuang, namun keadaan rumah yang uzur tersebut sudah tidak mampu bertahan lebih lama lagi.

“Saya bina sendiri, paku sendiri. Dua tiga bulan baru siap. Saya ada sekeping tanah namun tidak dapat dibina rumah memandangkan ia di kawasan paya. Kini saya menumpang bina rumah ini di atas tanah adik-beradik.

“Serba kekurangan, namun ini saja yang saya mampu buat untuk tinggal dengan anak-anak, selain dapat bantuan sikit-sikit dari mereka yang sudi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mariam bersama anaknya, Muhammad Sapuan di rumahnya di sini.
Mariam bersama anaknya, Muhammad Sapuan di rumahnya di sini.

Mariam yang juga bekas tukang cuci di sebuah sekolah di sini merupakan keluarga asnaf yang terlibat dalam program Community Policing di sekitar kawasan Badang yang turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Datuk Zul Wisma.

Mariam yang juga tinggal bersama seorang anak lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) lembam kini hanya melakukan kerja kampung sebagai pencari batang lidi dan dijual di kawasan Kedai Buluh, di sini.

Menerima bantuan RM400 sebulan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), ia sedikit sebanyak membantu Mariam membeli makanan untuk kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Baharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud dan Yayasan Amal Dato Zul Wisma yang diketuai Pengerusinya, Datuk Dr Zulkepli Mohamad melihat sendiri kawasan kediaman Mariam dan memberikan bantuan zakat yang disalurkan melalui yayasan tersebut.

Abdul Rahim berkata, walaupun ia program julung kali diadakan tahun ini, namun dengan adanya kerjasama tersebut, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan bebanan golongan asnaf di kawasan Badang itu.

Perkara yang sama dinyatakan Datuk Dr Zulkepli Mohamad dan memberitahu sumbangan zakat tersebut adalah melalui yayasannya yang melibatkan penderma dari seluruh negara.

“Hari ini kita berikan sumbangan zakat kewangan dan sediakan sedikit barangan dapur untuk empat keluarga yang masing-masing berada di kawasan Badang ini.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana membantu mempermudahkan segala urusan untuk menyampaikan sumbangan kali ini,” katanya.