Bot kelas C ditahan langgar kawasan

Bot kelas C dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin di Batu Uban bersama tiga nelayan yang ditahan awal pagi tadi.
Bot kelas C dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin di Batu Uban bersama tiga nelayan yang ditahan awal pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebuah bot kelas C ditahan apabila didapati menceroboh kawasan penangkapan ikan di Zon B awal pagi tadi.

Bot tersebut ditahan sepasukan penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang yang sedang membuat rondaan pada jam 2.30 pagi tadi.

Pengarahnya, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, bot berkenaan didapati telah melanggar syarat sah lesen kerana menangkap ikan di zon yang tidak dibenarkan.

Menurutnya, turut ditahan seorang tekong berusia 37 tahun dan dua awak-awak berusia 44 dan 59 tahun.

"Kesemua yang ditahan adalah warga Thailand. Bot tersebut ditahan kira-kira 8.4 batu nautika dari Barat Muka Head.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai terdekat,” katanya dalam satu kenyataan tadi.

Beliau berkata, pihaknya juga merampas dua gulung pukat tunda dan ikan campur anggaran 100kg.

"Kesemua tahanan dan barang rampasan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk siasatan serta tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, APMM akan terus menggandakan usaha membanteras kegiatan langgar syarat lesen perikanan kerana ia menggangu ekosistem marin dan menjejaskan ekonomi nelayan pesisir pantai," katanya.