Hari Afrika 2019 disambut 27 Jun

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sempena Ramadan dan Aidilfitri, majlis sambutan Hari Afrika akan diadakan pada 27 Jun.

Kebiasaannya rakyat Afrika di negara ini menyambut Hari Afrika pada 25 Mei.

Sambutan kali ini turut meraikan ulang tahun ke-65 Pertubuhan Kesatuan Afrika (OAU) - kini dikenali Kesatuan Afrika (AU) - ditubuhkan pada 1963.

Bertemakan ‘Year of Refugees, Returnees and Internally Displaced Persons: Towards Durable Solutions to forced displacement in Africa’, sambutan tahun ini bakal diserikan dengan majlis dianjurkan Ketua Misi Afrika di Kuala Lumpur.

Kedutaan Senegal merangkap ahli jawatakankuasa kecil sambutan dalam satu kenyataan menyebut: "Sambutan Hari Afrika, di samping menggambarkan dan menyerlahkan tema yang dipilih, ia bertujuan mewujudkan serta meningkatkan kesedaran di kalangan orang awam mengenai kepelbagaian dan kekayaan budaya dari benua Afrika.

Selain itu, Hari Afrika mengiktiraf dan meraikan kejayaan OAU dalam memerangi penjajahan dan apartheid, selain kemajuan dicapai Afrika sejak ia ditubuhkan pada Mei 1963.

Tambah kenyataan itu lagi, AU telah menyaksikan banyak pembangunan dari sudut sosio-ekonomi dan politik, termasuk peningkatan keusahawanan, akses pendidikan lebih baik dan penurunan kadar kematian kanak-kanak.

Lebih ramai wanita berkhidmat di Parlimen, dan pertumbuhan ekonomi yang lebih memberangsangkan di beberapa negara Afrika.

Artikel Berkaitan:

Hari Afrika 2019 dijangka disertai, antaranya utusan dan diplomat dari Kedutaan Afrika dan Suruhanjaya Tinggi di Malaysia, wakil kerajaan, ahli-ahli diaspora Afrika, wakil syarikat Afrika di Malaysia serta orang awam. - Bernama