Dewan SKPK Princess Elizabeth: Kerja selenggara bermula Januari lalu

Keadaan bumbung SKPK Princess Elizabeth yang uzur akibat serangan anai-anai.
Keadaan bumbung SKPK Princess Elizabeth yang uzur akibat serangan anai-anai.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerja-kerja penyelenggaraan struktur dewan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth yang terjejas akibat serangan anai-anai telah dilaksanakan sejak Januari lalu.

Menurut kenyataan rasmi daripada Kementerian Pendidikan semalam, kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur sekolah berkenaan juga dijangka akan selesai sepenuhnya pada Julai ini.

"Usaha yang dilakukan ini adalah selaras dengan hasrat bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang berkualiti diwujudkan terutama bagi murid berkeperluan khas.

"Berkenaan perkara ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek juga telah meminta agar kerja-kerja pembaikan itu dapat disegerakan sebaik sahaja perkara mengenai isu ini diketahui beliau," kata kenyataan itu.

Dalam masa sama, kementerian turut memberi jaminan bahawa isu berkenaan kerosakan fasiliti itu akan sentiasa berada dalam perhatian.

Sebelum ini, Exco Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan berkata, tinjauan ke sekolah tersebut mendapati kayu galang bumbung dewan sudah patah kerana serangan anai-anai dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memberikan notis untuk tidak menggunakan prasarana itu.

"Ia berbahaya kepada semua pengguna. Jadi saya mengharapkan supaya pihak berkaitan dapat segera bertindak untuk membantu keselesaan murid di (sekolah) pendidikan khas ini.

"Seperti mana yang kita tahu, (sekolah) pendidikan khas ini menempatkan murid yang mempunyai masalah penglihatan. Jadi keperluan untuk menjaga keselamatan mereka itu amat diutamakan oleh kita sepatutnya,” katanya.

Artikel Berkaitan: