Liga Super: Semangat berpasukan kunci kejayaan TFC

Penjaga gol Selangor Mohd Farizal Harun (dua, kiri) menyelamatkan gawang pasukannya selepas kapten Terengganu FC (TFC) Lee Andrew Tuck (kiri) melakukan percubaan gol pada saingan Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi. - Foto Bernama
Penjaga gol Selangor Mohd Farizal Harun (dua, kiri) menyelamatkan gawang pasukannya selepas kapten Terengganu FC (TFC) Lee Andrew Tuck (kiri) melakukan percubaan gol pada saingan Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

PEMANGKU ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain memuji semangat berpasukan tinggi yang ditunjukkan anak-anak buahnya yang menjadi kunci kejayaan pasukan itu menundukkan Selangor 1-0 pada aksi Liga Super malam tadi.

Gol tunggal TFC 'dihadiahkan' oleh kapten Selangor, K Sarkunan apabila dia tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-90 perlawanan dalam usahanya mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.

Kemenangan tipis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu juga sekali gus menamatkan badi tiga perlawanan tanpa kemenangan Skuad Penyu dan meleburkan rekod Selangor yang tidak pernah tewas di laman lawan dalam kesemua enam aksi di tempat lawan pada musim ini.

"Kunci kemenangan kita adalah pemain yang telah berikan komitmen, usaha keras, disiplin serta semangat untuk menang. Sumbangan saya selaku jurulatih hanya 10 peratus sahaja, 90 peratus lagi datang daripada pemain itu yang betul-betul bermain sebagai satu pasukan.

"Jadi sama ada kita menang tipis atau besar tidak menjadi hal kerana yang penting kita mampu mengutip tiga mata berharga," katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Selangor, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, Nafuzi yang baru sahaja mengambil alih tugas ketua jurulatih dua minggu lalu mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diatasi pemain di semua posisi dalam usaha meningkatkan prestasi TFC.

Bagi beliau, tidak ada satu pasukan yang sempurna dan ia memerlukan setiap pemain sentiasa memperbaiki kelemahan serta kekurangan yang ada.

"Kita akan analisis di mana kesilapan dan kekurangan kita untuk atasi kelemahan yang ada," katanya yang berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan anak-anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Dengan tiga mata tersebut, Terengganu FC berjaya melonjak ke kedudukan kelima selepas mengumpul 20 mata, manakala Selangor kekal di tempat keempat dengan 22 mata selepas 15 perlawanan.

Sementara itu pengendali Selangor, B.Satiananthan menyifatkan perlawanan itu adalah aksi terburuk pasukannya musim ini.

Satiananthan berkata pasukannya gagal mempamerkan prestasi baik seperti biasa apabila semua pemain bermain di bawah kemampuan sebenar termasuk Faiz Nasir dan Syazwan Zainon yang merupakan pemain kebangsaan.

"Terengganu menang bukan nasib.. mereka memang berhak kerana keseluruhan bermain lebih baik daripada kita dan tunjukkan semangat ingin menang yang tinggi.

"Dia (TFC) cipta lebih banyak peluang daripada kita (Selangor) sementara kita pula asyik hilang bola dan bila ada peluang kita tak ambil," katanya.

Satiananthan berkata beliau tidak menyalahkan Sarkunan kerana gol sendiri itu, sebaliknya aksi pemain-pemain lain yang gagal mengekalkan penguasaan bola turut memberi peluang kepada pasukan Terengganu membuat serangan sehinggalah terhasilnya jaringan. - Bernama