Jadikan pengajaran kematian Muhammad Adib

Rizam (tiga kiri) bersama sebahagian ahli Umno melawat rumah seorang penduduk pada Program Ziarah Kasih Dun Sungai Air Tawar.
Rizam (tiga kiri) bersama sebahagian ahli Umno melawat rumah seorang penduduk pada Program Ziarah Kasih Dun Sungai Air Tawar.
A
A
A
SABAK BERNAM - Kerajaan perlu memperkukuh perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini berikutan kematian anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kasim, semalam.

Ketua Pembangkang Dun Selangor, Rizam Ismail berkata, kematian Muhammad Adib mendukacitakan dan seharusnya dijadikan pengajaran kepada semua pihak.

"Inilah pentingnya kita menghormati Perlembagaan Negara yang telah termaktub sejak sekian lama.

"Melihat situasi ini, ia membuktikan betapa pentingnya perpaduan dalam negara perlu dikekalkan dengan tidak mewujudkan bibit perpecahan antara kaum," katanya kepada media selepas Program Ziarah Kasih Dun Sungai Air Tawar, pagi tadi.

Rizam berkata, bibit perkauman seperti isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi kaum (ICERD) juga perlu dielakkan kerana negara kita sekian lama kekal makmur di bawah Perlembagaan Negara.

"Rakyat seharusnya menghormati Perlembagaan yang dianggap sebagai tiang kepada kemakmuran.

"Sebab itu, jangan ditiup lagi isu perkauman seperti sebelum ini yang mengakibatkan berlakunya kehilangan nyawa insan tidak berdosa.

"Kita perlu saling menghormati antara satu sama lain selain menghormati pihak berwajib (bomba dan polis) yang menjalankan tugas," katanya.

Selain itu, katanya, pihak berkuasa turut diminta mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang terbabit dalam insiden kekecohan bulan lalu dikenakan hukuman setimpal.
Artikel Berkaitan:


Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Muhammad Adib, 24, cedera parah selepas dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lalu.

Muhammad Adib disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), jam 9.41 malam tadi.

Pada 10 Disember lalu, empat lelaki berusia 21 hingga 24 tahun dipercayai terbabit dalam insiden itu dibebaskan daripada reman dengan jamin bon mahkamah dan polis.

Mereka sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.