Sejarah kegemilangan Kota Lukut terus diingati

Kadir Bashah menunjukkan antara kubu pertahanan yang dibina Raja Melayu di Lukut.
Kadir Bashah menunjukkan antara kubu pertahanan yang dibina Raja Melayu di Lukut.
A
A
A

PORT DICKSON - Jika datang ke Port Dickson, tidak sah kalau tidak singgah ke Muzium Lukut Negeri Sembilan.

Muzium yang merupakan salah satu antara pusat tumpuan pelancong yang datang dari luar dan dalam negara.

Muzium tersebut dirasmikan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pada 9 April 1999 sudah hampir 20 tahun beroperasi dan masih lagi menjadi tumpuan pelancongan.

Pembantu Kanan Muzium Lukut, Kadir Bashah AM Hujah Mohaideen berkata, muzium dua tingkat itu mempunyai empat galeri utama iaitu Galeri Sejarah Lukut, Galeri Nassau, Galeri Negeri Sembilan Negeri Beradat dan Galeri Teknologi Pembuatan Masyarakat Tradisional.

“Galeri ini mempunyai beberapa segmen antaranya Latar Belakang Sejarah Lukut, Kota Lukut Sebagai Kota Pertahanan, Lukut Pesat Ekonomi dan Pentadbiran, Lukut Dalam Aspek Politik, Laporan Kapten Macpherson dan Perlombongan Bijih Timah di Lukut.

“Pelbagai koleksi dan bahan pameran yang berkaitan dengan sejarah kegemilangan Lukut diwujudkan kembali dalam bentuk ilustrasi, gambar, artifak dan lain-lain, untuk dipamerkan kepada pengunjung,” katanya.

Muzium Lukut penuh sejarah.
Muzium Lukut penuh sejarah.

Menurutnya, muzium terbabit dibina sebagai satu tanggungjawab menyebarkan maklumat sejarah dan budaya di Negeri Sembilan untuk ditatapi oleh masyarakat tempatan, pelancong luar, pelajar dan penyelidik sejarah.

Artikel Berkaitan:

Matlamat utama pembinaannya untuk memastikan sejarah kegemilangan Kota Lukut terus diingati dan dikenang dalam sejarah negara.

“Di sini kita dapat lihat sejarah Lukut bermula daripada awal kurun ke-19 Masihi sehinggalah Lukut dimasukkan ke dalam daerah Sungai Ujung (Negeri Sembilan) pada 1880.

“Lukut merupakan daerah terpenting yang mana ia sangat terkenal dengan aktiviti bijih timah dan mempunyai sebuah kota pertahanan yang dibina sendiri oleh Raja Melayu dengan menggunakan kerja-kerja tangan oleh penduduk tempatan.

“Pengunjung yang datang ke Muzium Lukut akan didedahkan dengan sejarah Kota Lukut yang pernah mencapai zaman kegemilangannya bermula daripada pemerintahan Raja Juma’at Bin Raja Jaafar (1847-1864),” katanya.

Kadir berkata, Raja Juma’at merupakan seorang putera Bugis yang menjadikan Lukut pusat perdagangan yang berjaya pada masa pemerintahannya.

“Tetapi orang pertama yang buka Lukut adalah Raja Busu, salah seorang kerabat Diraja di Selangor, dan diakhiri pemerintahan pada zaman Raja Bot, anak kepada Raja Juma’at, yang gagal meneruskan pemerintahan ayahandanya,” katanya.

Tambahnya, setelah kematian Raja Juma’at, termeterainya Perjanjian Persempadanan Selangor-Sungai Ujong pada 31 Julai 1880, menandakan berakhirnya era pemerintahan Raja di Lukut.