"Rendang Soraya" filem sesawang Petronas sempena Aidilfitri

 Pengurus Besar Kanan Petronas Zahariah Liza Abdul Rahman (tengah) Melancarkan Iklan Raya Petronas bertajuk 'Rendang SoRaya' di Suria KLCC hari ini. - Foto Bernama
Pengurus Besar Kanan Petronas Zahariah Liza Abdul Rahman (tengah) Melancarkan Iklan Raya Petronas bertajuk 'Rendang SoRaya' di Suria KLCC hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bersempena sambutan Aidilfitri, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) hari ini melancarkan filem sesawang dan iklan televisyen terkininya di Suria KLCC.

Filem sesawang berjudul “Rendang Soraya” yang menyorot usaha seorang tukang masak muda mengingatkan kembali resipi rendang istimewa masakan arwah ibunya dan di dalam proses itu mengimbau kembali saat-saat berharga ketika bersama ibunya di masa lampau.

Filem pendek berdurasi empat minit itu memaparkan tradisi dan nilai kekeluargaan yang bertumpu kepada budaya Negeri Sembilan yang dapat dihayati menerusi penggunaan loghat tempatan oleh pelakon dan juadah tradisi popular negeri itu.

Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah Abdul Rahman berkata cerita itu berkisar lebih daripada juadah hari raya dan menyampaikan mesej kepada masyarakat mengenai ikatan hubungan dengan orang sekeliling yang tidak sepatutnya diambil mudah.

“Rendang itu simbolik kasih sayang seorang ibu dan apa yang ditempuhinya yang kemudian diturunkan kepada anak perempuannya sendiri,” kata beliau.

Sementara itu pengarah filem sesawang itu, Ismail Kamarul berkata mesej yang cuba disampaikan dalam filem itu bahawa walaupun orang yang disayangi sudah tiada tetapi mereka tetap wujud dalam diri seseorang.

"Setiap tingkah laku kita baik atau buruk mencerminkan bukan sahaja diri kita sendiri, tetapi orang yang sudah tiada bersama kita yang mengajar kita dari kecil," katanya.

Filem sesawang itu boleh ditonton di pelbagai platform termasuk saluran media sosial dan televisyen dan orang ramai boleh melayari saluran YouTube rasmi Petronas untuk menonton filem itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: