Kes Christchurch: Wajah PM New Zealand diabadikan di mural

Mural Perdana Menteri New Zealand diabadikan di Brunswick, utara Melbourne.
A
A

MELBOURNE - Tragedi berdarah di Masjid Al Noor, Christchurch yang mengorbankan 50 nyawa pada Mac lalu masih segar dalam ingatan.

Dalam peristiwa bersejarah itu, Perdana Menteri (PM) New Zealand menjadi ‘bintang’ di media sosial dan dipuji oleh rakyat seluruh dunia atas tindakan beliau yang dilihat tegas dalam menangani insiden itu.

Bukan itu sahaja, imej berselendang Perdana Menteri Jessica Ardern ketika berjumpa dengan komuniti Muslim di Christchurch, tular hingga menarik perhatian Muslim seluruh dunia.

Rentetan itu, seorang artis tempatan Melbourne, Loretta Lizzio, melakar mural Perdana Menteri New Zealand itu setinggi 23 meter di Brunswick, utara Melbourne, Australia.

Memetik laporan Daily Mail, karya seni tersebut memperlihatkan momen ikonik di mana Perdana Menteri New Zealand yang sedang memakai selendang memeluk wanita Muslim yang dilanda kesedihan berikutan nahas terbabit.

Bagaimanapun, mural itu mencetuskan kontroversi bagi sesetengah pihak yang menganggap ia tidak relevan bagi penduduk Australia.

Malah, hampir 15,000 orang telah menandatangani petisyen menerusi change.org untuk memadamkannya semula.

Namun pihak penganjur mural berkata lokasi Brunswick adalah tempat yang sesuai kerana ia memiliki kepelbagaian sejarah dan komuniti.

“Ia adalah tempat di mana ramai yang bersedih ketika peristiwa tembakan di Christchurch," tegas mereka.

Difahamkan wang AS$11,000 (RM46,090) untuk membeli segala peralatan berjaya dikutip menerusi page GoFundMe. “AS$11,000 sepatutnya dibelanjakan untuk orang yang lebih berhak, membantu gelandangan dan mereka yang kelaparan, bukannya melukis mural," luah salah seorang pengguna Facebook.

Sementara itu, Lizzio tidak mengendahkan kontroversi itu sebaliknya hanya mengambil sudut positif kerana perkara itu adalah sesuatu yang wajar untuk diingati.

Lizzio mengambil masa sembilan hari untuk menyiapkan karya tersebut dan mengatakan dia hanya menerima komen positif setakat ini.

Lebih mengejutkan, dia merasakan respon yang diterima sangat luar biasa.

“Mereka yang memandangnya hampir menangis dan ada yang datang memeluk saya.

"Karya seni ini adalah simbolik sebagai sebuah peringatan bagi kita untuk menerima dan meraikan perbezaan budaya serta agama.

“Saya mahu mereka rasa diterima di sini. Saya mempunyai kawan, kawan kepada kawan yang melalui kesukaran akibat sikap rasis. Ia sangat menyedihkan," katanya.

Untuk rekod, imej Perdana Menteri Jessica Ardern tersebut juga pernah menjadi paparan di mercu tanda terkenal seluruh dunia, termasuklah di bangunan tertinggi dunia di Dubai.