Tiada rakyat Malaysia terlibat insiden rusuhan di Jakarta

Saifuddin (tengah) bersama penerima sumbangan dalam program tersebut hari ini.
A
A

TEMERLOH - Kementerian Luar Negeri mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam insiden rusuhan di Jakarta yang berlaku selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2019) Selasa lalu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia berdasarkan laporan dari Kedutaan Besar di Jakarta yang menyatakan tiada rakyat negara ini terlibat dalam rusuhan terbabit.

Tambahnya, buat masa ini kerajaan tidak mempunyai pelan bagi membawa keluar rakyat Malaysia yang masih berada di ibu negara Indonesia itu.

"Walaupun tiada cadangan bagi membawa keluar rakyat Malaysia di sana, kerajaan akan terus mengikuti dengan rapat dan berharap keadaan akan segera kembali seperti biasa," katanya kepada media selepas Majlis Iftar Perdana Ramadan Persatuan Penggerak Muafakat Pahang, di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, di sini malam ini.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Penggerak Muafakat Pahang,Zakaria Abd Hamid dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Norhisham Mohammad.

Media sebelum ini melaporkan enam terkorban dan 200 cedera dalam rusuhan itu.

Sementara itu, ketika ditanya usaha kerajaan bagi membantu rakyat Malaysia yang menghadapi hukuman mati di Singapura, P Pannir Selvam, pihaknya memberitahu kerajaan mendapatkan nasihat guaman terbaik apabila keluarganya mencabar penolakan pengampunan ke atasnya.

"Saya telah berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen) Datuk Liew Vui Keong dan mencapai persetujuan supaya Liew menangani kes berkenaan.

"Kedutaan kita beri bantuan kepada remaja itu. Kita akan bantu tapi proses mencabar penolakan pengampunan itu perlu datang dari keluarganya," katanya.

Semalam, media melaporkan Mahkamah Rayuan Singapura membenarkan permohonan Pannir Selvam untuk menangguhkan hukuman mati yang dihadapinya dan membolehkan beliau mencabar proses pengampunan.