Pengurangan kompaun 50 peratus sempena Ramadan: MBSA

Shahrin Ahmad
Shahrin Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan kempen pengurangan kompaun sebanyak 50 peratus sepanjang Ramadan ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kempen ini dijalankan untuk memberi peluang kepada Orang Kena Kompaun (OKK) menyelesaikan tunggakan kompaun.

Menurutnya, pelaksanaan kempen pengurangan kompaun bermula 6 Mei hingga 4 Jun ini dengan menawarkan sehingga 50 peratus pengurangan daripada bayaran sebenar kompaun yang dikenakan.

"Ini merupakan inisiatif MBSA untuk membantu dan menggalakkan OKK menyelesaikan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang gagal menyelesaikan tunggakan kompaun masing-masing," katanya.

Selain itu katanya, kompaun Tempat Letak Kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) akan diberikan pengurangan sehingga RM30 daripada jumlah asal di semua kaunter pembayaran MBSA.

"Bagi menggalakkan orang ramai membuat pembayaran kompaun, MBSA juga turut menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheel (SAOW) yang akan beroperasi pada setiap hari Sabtu di pasar raya terpilih di kawasan pentadbiran MBSA.

"Orang ramai juga boleh membuat pembayaran kompaun di Kaunter Utama, Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning dan Pejabat Cawangan Setia Alam," katanya.

Menurutnya orang ramai dinasihatkan supaya mengambil peluang ini untuk menjelaskan tunggakan kompaun mereka sebelum tindakan tegas diambil ke atas OKK antaranya sekatan urusniaga di kaunter-kaunter MBSA atau membawa tindakan ke mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Sebarang pertanyaan berhubung perkara ini, orang ramai boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55222882 atau 03-55105133 sambungan 1477, 1656, 1657 dan 1658 atau pun layari portal MBSA di eps.mbsa.gov.my.

Berikut merupakan jenis-jenis kompaun yang layak untuk mendapat pengurangan sehingga 50 peratus iaitu:-

1 Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983

2 Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005

3 Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005

4 Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007

5 Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007

6 Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007

7 Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007

8 Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007

9 Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007