Derita Abe Jali 'Salam Pantai Timur'

Muhammad Yusri (dua, kanan) diiringi ahli jawatankuasa PKABAS menyampaikan sumbangan kepada Abe Jali.
Muhammad Yusri (dua, kanan) diiringi ahli jawatankuasa PKABAS menyampaikan sumbangan kepada Abe Jali.
A
A
A

BACHOK - Jika suatu ketika dahulu dialek Kelantan Mohd Idris Ibrahim, 58, atau lebih dikenali Abe Jali dalam sitkom 'Salam Pantai Timur' hiburan komedi terbitan RTM sekitar tahun 2007 ditunggu-tunggu peminat, namun kini dia kini tidak mampu bergerak aktif selepas menderita penyakit kencing manis kronik.

Penggiat seni dari Kelantan yang berada sebaris dengan artis komedi ketika itu antaranya Sabri Yunus dan Allahyarham Zami Ismail, dulu peramah dan suka berjenaka kini menjadi seorang pendiam.

Penyakit kencing manis kronik dihidapinya menyebabkan kaki kanan terpaksa dipotong setahun lalu.

Kehidupannya lebih tertekan setelah isteri meninggalkannya pertengahan tahun lalu.

Ibunya, Mek Nab Samad, 80, yang sudah uzur kini menjaga dan menemaninya di rumah Program Perumahan Termiskin (PPRT) di Kampung Chap, Bekelam di sini.

Mek Nab berkata, kudrat tuanya itu kini menjaga dan menemani anak bongsunya itu di rumahnya di Kampung Chap, di sini.

"Saya teman dia sebab tak ada siapa lagi nak jaga dia, dua anaknya duduk di luar Kelantan.

"Saya ucap terima kasih kepada pihak yang bantu dia. Syukur ada lagi yang ingat," katanya ketika menerima kunjungan Pertubuhan Kebajikan Kampung Bukit Abal (PKABAS) semalam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi PKABAS, Muhammad Yusri Ismail berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib yang menimpa Abe Jali.

Katanya, beliau berharap sumbangan barangan keperluan harian yang disampaikan dapat meringankan sedikit bebanan Abe Jali dan ibunya.

"Abe Jali menjadi hamba seni kerana minat yang mendalam, tidak sewajarnya beliau terpinggir selepas kaki dipotong.

"Sama-samalah kita bantu, setidak-tidaknya menyuntik semangat untuk beliau meneruskan kehidupan tanpa rasa tertekan," katanya.