Lorong kiri Lebuhraya Persekutuan KL ke PJ ditutup sementara mulai 26 Mei

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa lorong sebelah kiri Lebuhraya Persekutuan dari arah pusat bandar Kuala Lumpur (KL) ke Petaling Jaya (PJ) akan ditutup sementara mulai Ahad ini sehingga 9 Jun dari jam 10 malam sehingga 6 pagi.

Lebuhraya Duke Fasa 3 Sdn Bhd (LDF3) dalam kenyataan hari ini berkata penutupan itu bagi kerja-kerja pelancaran dan pemasangan rasuk sementara Projek Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE) dan sepanjang tempoh itu, pengguna lebuh raya dari arah pusat bandar yang ingin menghala ke Petaling Jaya boleh menggunakan baki lorong yang masih dibuka.

Menurut kenyataan itu, Pasukan Respons Kecemasan (ERT) daripada SPE akan ditempatkan bagi memantau keadaan dan memudahkan aliran trafik sekiranya terdapat masalah di kawasan terlibat.

“Syarikat konsesi, LDF3 menasihati semua pengguna jalan raya agar memandu dengan berhati-hati di sepanjang kawasan kerja-kerja pembinaan dan mematuhi arahan pegawai trafik serta papan tanda lalu lintas yang diletakkan di sekitar kawasan tapak pembinaan.

“LDF3 memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi pengguna jalan raya sepanjang tempoh pembinaan berjalan,” kata kenyataan itu.

Untuk keterangan lanjut, sila layari laman web rasmi DUKE http://www.duke.com.my/ atau laman sosial Facebook https://www.facebok.com/Setiawangsa-Pantai-Expressway-DUKE-3 atau hubungi talian penting DUKE 03-62513100.- Bernama

Artikel Berkaitan: