Mahkamah tolak permohonan Rosmah ketepi notis isytihar harta

A
A

Mahkamah tolak permohonan Rosmah ketepi notis isytihar harta

Mahkamah Tinggi hari ini menolak pengisytiharan yang diminta Datin Seri Rosmah Mansor bahawa peruntukan dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) untuk memaksa beliau mengisytiharkan hartanya tidak mengikut perlembagaan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata undang-undang itu diformulasi untuk menangani kes pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kepada Rosmah bahawa anggapan tidak bersalah masih terpakai kepadanya dan beban bukti adalah pada pendakwaan untuk mengemukakan tuduhan bersalah dalam perbicaraan.

Rosmah, isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, memfailkan permohonan itu pada 24 Feb lalu untuk mengenepikan notis yang dikeluarkan pendakwa raya pada 1 Nov tahun lalu untuk memaksa beliau mengisytiharkan semua asetnya di bawah Seksyen 49 Amla.

Pada 4 Okt tahun lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen bagi 12 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan kira-kira RM7 juta.

Selain itu, Rosmah juga berdepan 5 tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya antara 2013 dan 2017 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mahkamah keluar waran tangkap bekas ketua perisik

Mahkamah Tinggi hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid yang dituduh pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta, kerana tidak hadir semasa pengurusan kesnya hari ini.

Waran itu dikeluarkan Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas Timbalan Pendakwa Raya Mahadhir Mohd Khairudin membuat permohonan supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap Hasanah, 61, kerana tidak hadir tanpa sebarang alasan.

Peguam Nur Aifaa Mohd Zain yang mewakili Hasanah memohon maaf kepada mahkamah dan memberitahu Hasanah tidak hadir kerana peguam itu gagal memaklumkan tertuduh berkenaan prosiding hari ini.

Hakim Sequerah kemudiannya mengeluarkan waran tangkap terhadap Hasanah dan menetapkan 26 Jun bagi sebutan waran tangkap dan notis kepada penjamin.

Pemuda Umno Johor tuntut Mukhriz mohon maaf tak salam Sultan Johor

Pemuda Umno Johor menuntut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memohon maaf kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Berdasarkan satu video pendek, Mukhriz kelihatan tidak bersalam dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar ketika sama-sama memberikan penghormatan terakhir kepada almarhum Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, semalam.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata Mukhriz dilihat bertindak biadab dan hilang etika kemelayuannya apabila tidak bersalaman dengan Sultan Johor.

Berdasarkan video yang dikongsikan Tunku Mahkota Johor itu, Mukhriz bagaimanapun memberikan isyarat sembah.

Peniaga pasar malam didakwa bakar kereta Mufti Perlis

Seorang peniaga pasar malam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan membakar kereta Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Mac lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd. Azimar Abd. Razak, 36, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa telah membakar kereta jenis Honda Accord berwarna hitam milik kerajaan negeri di Jalan Persiaran Wawasan di sini, kira-kira pukul 5 pagi, 22 Mac lalu.

Berikutan itu, bahagian enjin kereta Honda Accord berwarna hitam tersebut terbakar sepenuhnya. Turut terbakar, tayar hadapan sebelah kiri kenderaan tersebut manakala cermin belakang dan depan turut pecah.

Pelajar Malaysia cemerlang di Universiti Arizona State

Kecemerlangan pelajar Malaysia, Maryam Balqis Abdul Rashid, 23, yang memperoleh keputusan CGPA 4.0 di Arizona State Universiti (ASU), Arizona, Amerika Syarikat dalam bidang ‘Sustainability’ (Kelestarian), benar-benar membanggakan negara.

Maryam Balqis yang merupakan salah seorang pelajar penerima biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara), yang berjaya mengekalkan keputusan cemerlang di sepanjang pengajian beliau itu, menurut e-Warta Mara, satu platform bagi menyampaikan maklumat berkaitan Mara.

Pihak Mara Washington turut memberitahu, Maryam Balqis akan melanjutkan pelajarannya ke peringkat ijazah sarjana dalam kursus ‘Penyelesaian Kelestarian’ pada bulan Ogos ini.