FAMA teroka pasaran produk agro makanan ke Arab Saudi

Ishak (tujuh dari kiri) merakamkan gambar selepas melancarkan Majlis Pelepasan Penerokaan Pasaran Produk Agro Makanan Ke Arab Saudi yang berlangsung di Ibu Pejabat Fama hari ini.
Ishak (tujuh dari kiri) merakamkan gambar selepas melancarkan Majlis Pelepasan Penerokaan Pasaran Produk Agro Makanan Ke Arab Saudi yang berlangsung di Ibu Pejabat Fama hari ini.
A
A
A

SELAYANG - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menerusi kerjasama strategik dengan Inovatif Hijrah Resources Sdb Bhd mengambil langkah untuk memasarkan produk agro makanan halal keluaran usahawan Malaysia (PKS) ke pasaran Arab Saudi.

Pengerusi FAMA, Ishak Ismail berkata, pihaknya mengambil peluang ini untuk memasarkan produk agro makanan halal ke negara teluk khususnya Arab Saudi berikutan semakin mendapat permintaan tinggi saban tahun.

Bagi tujuan ini, Ishak berkata, FAMA memainkan peranan dengan mengenal pasti usahawan yang berpotensi dan mempunyai produk bersesuaian untuk pasaran negara berkenaan.

"Di samping itu, kita juga turut membuat sesi saringan produk dan membantu menyelaras persediaan dokumen mengikut keperluan pihak berkuasa Arab Saudi.

"Inovatif Hijrah Resources Sdn Bhd pula memainkan peranan sebagai ejen pemasaran bagi penerokaan produk halal Malaysia ke Arab Saudi," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelepasan Penerokaan Pasaran Produk Agro Makanan Ke Arab Saudi yang berlangsung di Ibu Pejabat Fama hari ini.

Mengulas mengenai majlis pelepasan itu, Ishak berkata, pada kali ini, sebanyak 14 buah syarikat bersetuju untuk turut serta dalam program ini dengan melibatkan penghantaran sebanyak 22 Stock Keeping Unit (SKU) produk Ready to Eat (RTE) dan Ready to Drink (RTD) berjumlah 1,089 karton.

Ishak (kiri) membuat gimik memasukkan produk ke dalam kontena dalam majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Fama hari ini.
Ishak (kiri) membuat gimik memasukkan produk ke dalam kontena dalam majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Fama hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, FAMA memilih untuk tembusi pasaran Arab Saudi sebagai permulaan berikutan ia dapat menjadi platform bagi memudahkan laluan ke negara teluk lain seperti Qatar, Oman dan lain-lain lagi.

"Pada tahun ini kita mula untuk masuk dan kita jangkakan menjelang 2020 sudah ada usahawan kita yang mampu membawa produk RTE dan RTD ke sana," katanya.

Dalam pada itu, Ishak berkata pada tahun lalu, sebanyak sembilan SKU dari empat syarikat telah menghantar produk RTE mereka ke tiga hotel penginapan di Makkah untuk tujuan market testing.

Tambah beliau, pada April lalu, sebanyak 14 SKU rempah premix turut di hantar ke Arab Saudi bagi kegunaan katering Tabung Haji (TH).

"Kita lihat permintaan di sana terhadap produk usahawan negara ini semakin tinggi dan mendapat sambutan baik," katanya.