Wanita PKR cadang ADUN wanita tanpa kawasan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menyertai aktiviti senaman bersama warga emas ketika mengadakan lawatan sempena Program Salam Ramadan ke Pusat Penjagaan Warga Emas Darul Hanan di Pongsu Seribu hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menyertai aktiviti senaman bersama warga emas ketika mengadakan lawatan sempena Program Salam Ramadan ke Pusat Penjagaan Warga Emas Darul Hanan di Pongsu Seribu hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Wanita PKR mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Integrasi Reformasi Undang-Undang untuk Pemberdayaan Wanita dan Keluarga selain mewujudkan jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanpa Kawasan bagi wanita dalam usaha untuk memperkasa kedudukan wanita dalam masyarakat.

Dua cadangan itu telah disuarakan kepada Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa kunjungan hormat ke pejabat beliau, yang diketuai Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed, kelmarin.

"Kedua-dua cadangan ini mengambil kira kelompongan, kekurangan, kegagalan kerangka undang-undang sedia ada sama ada undang-undang sivil atau syariah bagi melindungi hak wanita," menurut kenyataan Wanita Keadilan, hari ini.

Kenyataan itu menyebut bahawa cadangan penubuhan jawatankuasa integrasi berkenaan adalah bagi mencari penyelesaian kepada kemelut dan konflik kekeluargaan sivil-syariah dengan jawatankuasa yang bekerjasama dan tidak bertindak secara berasingan ataupun bertindih.

"Bagi cadangan ADUN Tanpa Kawasan bagi Wanita, Haniza menekankan kepentingannya supaya wanita diberi peluang dan ruang untuk menceburi dunia politik di samping menenuhi keperluan kuota kepimpinan wanita dan wanita daripada masyarakat komuniti. Wanita Keadilan sedar untuk merealisasikannya, undang-undang tubuh negeri perlu dipinda untuk memasukkan Ahli Undangan Lantikan.

"Sasaran Wanita PKR adalah 36 ADUN Wanita Tanpa Kawasan di seluruh Malaysia iaitu dua dari setiap negeri dan tambahan 13 senator wanita di Dewan Negara," menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: