Selesaikan isu pencemaran air bukit KOA Sungai Buloh

Tangki statik berisi air bersih yang dihantar Air Selangor dapat mengurangkan beban penduduk KOA Sungai Buloh yang terjejas akibat pencemaran air bukit di kawasan mereka baru-baru ini. - Foto Facebook Sivarasa Rasiah
Tangki statik berisi air bersih yang dihantar Air Selangor dapat mengurangkan beban penduduk KOA Sungai Buloh yang terjejas akibat pencemaran air bukit di kawasan mereka baru-baru ini. - Foto Facebook Sivarasa Rasiah
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa penyelesaian jangka panjang dijangka dapat dicapai dalam isu berkaitan pencemaran air di Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Buloh, baru-baru ini.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, beliau akan membawa isu tersebut kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Kerajaan Selangor untuk dibincangkan secara lanjut.

Menurutnya, antara penyelesaian tersebut seperti pembekalan air mentah terawat yang bersih dan selamat dapat direalisasikan pada akan masa akan datang.

"Bagi kes pencemaran air bukit di KOA Sungai Buloh, ia dikenal pasti berpunca daripada aktiviti kerja tanah di kawasan sebahagian Kompartmen 10, Hutan Simpan Bukit Lagong baru-baru ini.

"Air bukit tersebut merupakan punca kegunaan sepenuhnya penduduk KOA Sungai Buloh.

"Satu mesyuarat bersama penduduk Orang Asli berkenaan isu itu sudah diadakan dengan agensi-agensi berkaitan antaranya Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah (PHDST), Pejabat Daerah & Tanah Gombak (PDT Gombak) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli Selangor & Wilayah Persekutuan (JAKOA) pada 21 Mei lalu.

"Pegawai Hutan Daerah Selangor Tengah melaporkan kerja-kerja tanah dihentikan dan surat henti kerja dikeluarkan oleh PHDST kepada syarikat terlibat pada 17 Mei lalu kerana melakukan kesalahan membina jalan hutan tanpa kebenaran serta menyebabkan pencemaran air bukit," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Loy Sian berkata, kesalahan tersebut akan diambil tindakan berdasarkan undang undang semasa melalui kertas siasatan daripada JPNS.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata lagi, sehingga 21 Mei lalu, tiada kerja-kerja tanah dijalankan oleh syarikat tersebut dan syarikat berkenaan mengaku kesalahan yang dilakukan dan akan bertanggungjawab untuk melakukan tindakan pembetulan segera serta memastikan bekalan air bersih dapat diagihkan kepada semua penduduk KOA Sungai Buloh.

Menurutnya, pihak syarikat bersetuju mendapatkan air bersih daripada Air Selangor melalui bekalan lori air secara terus kepada penduduk terjejas dan kerja-kerja pembaikan serta pemulihan kawasan aliran sungai yang ditolak supaya bekalan air bukit kepada penduduk sekitar dapat dipulihkan dengan kadar yang paling segera juga akan dibuat pada masa yang sama.

Air Selangor membekalkan empat tangki statik penuh berisi air bersih untuk kegunaan penduduk KOA Sungai Buloh. - Foto Facebook Sivarasa Rasiah
Air Selangor membekalkan empat tangki statik penuh berisi air bersih untuk kegunaan penduduk KOA Sungai Buloh. - Foto Facebook Sivarasa Rasiah

"Kerja-kerja pembaikan kawasan sungai terjejas perlu dimaklumkan kepada JPNS bagi penyelarasan kaedah terbaik pembaikan sebelum pelaksanaannya.

"Semua pihak bersetuju dengan kaedah penyelesaian sementara itu dan pelaksanaan perlu dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada semua pihak.

"Kerajaan negeri akan sentiasa memantau dan memastikan keadaan pembangunan terutamanya yang melibatkan kawasan pinggiran hutan atau/dan penempatan orang asli di seluruh Selangor.

"Segala kerja-kerja pembangunan hendaklah mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkenaan terlebih dahulu agar tidak menimbulkan sebarang masalah terutamanya yang melibatkan penduduk-penduduk di sekeliling kawasan terbabit," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam segala tindakan salah laku pihak tidak bertanggungjawab ke atas kawasan hutan simpan kekal yang menjadi khazanah dan simpanan alam sekitar.

Katanya lagi, tindakan undang-undang juga akan diambil ke atas mereka yang tidak mematuhi undang-undang sedia ada.