SPAN dapat ketua pegawai eksekutif baharu

Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman
Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman
A
A
A

CYBERJAYA - Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman, 50 dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkuat kuasa 27 Mei ini.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli melalui SPAN mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut SPAN, pelantikan itu sekali gus menamatkan teka-teki sebelum ini setelah jawatan tersebut tidak diisi sejak Mac 2019 selepas ketua pegawai eksekutif terdahulu, Datuk Mohd Ridhuan Ismail bersara pada 28 Februari lalu.

Katanya, surat pelantikan ditanda tangani oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dengan terma kontrak selama dua tahun yang boleh diperbaharui atas budi bicara kementerian.

"Sebelum dilantik menerajui SPAN, Ahmad Faizal mengisi jawatan ketua pegawai eksekutif di beberapa syarikat berkaitan air iaitu SAJ Ranhill Sdn Bhd (operator air di negeri Johor) dan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB).

"Beliau yang memiliki pengalaman luas dalam urusan pentadbiran dan pengurusan perniagaan juga pernah bertugas di syarikat berkaitan kerajaan iaitu Prokhas Sdn Bhd serta sebuah institusi pelaburan iaitu Aseambankers Malaysia Bhd yang kini dikenali sebagai Maybank Investment Bank Berhad, " katanya.

Menurut SPAN, Ahmad Faizal juga mempunyai latar belakang pendidikan di dalam bidang perakaunan dan pengurusan kewangan memperolehi Ijazah dari University of Essex, United Kingdom serta dari Said Business School, University of Oxford dalam bidang Pengurusan Lanjutan (Advanced Management).

"Dengan rekod prestasi beliau yang memberangsangkan di organisasi-organisasi sebelumnya yang beliau terajui, kementerian dan SPAN yakin, Ahmad Faizal mampu memacu transformasi di dalam industri perkhidmatan air dan pembetungan di negara ini melalui perancangan strategik dan penguatkuasaan Akta 654 dan Akta 655 secara lebih tuntas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Ahmad Faizal merupakan individu ketiga dilantik menerajui SPAN setelah Datuk Teo Yen Hua (Mac 2007 – Ogos 2014) dan Mohd Ridhuan (September 2014 – Februari 2018).