Mahkamah Jepun tolak rayuan Black Widow

Chisako Kaheki digelar Black Widow kerana membunuh semua mangsanya menggunakan racun sianida.
A
A

TOKYO - Mahkamah Jepun hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang wanita digelar Black Widow kerana menggunakan racun sianida untuk membunuh kekasihnya yang sudah tua dan kaya bagi membolot harta mereka.

Mahkamah Tinggi Osaka menolak rayuan Chisako Kakehi, 72, untuk membatalkan hukuman gantung sampai mati kerana membunuh tiga lelaki termasuk suaminya dan cubaan membunuh seorang lagi dalam kes yang menggegarkan Jepun.

Kes wanita itu mendapat perhatian selepas siasatan mendapati dia memikat lelaki berusia yang kaya bagi memperoleh bayaran insurans dan warisan bernilai jutaan dolar selepas membunuh mangsa.

Kaheki digelar Black Widow sempena nama labah-labah yang membunuh pasangan jantan selepas mengawan.

Ketika menjatuhkan hukuman mati pada 2017, hakim Ayako Nakagawa berkata, pembunuhan yang dilakukan itu licik dan berniat jahat di mana Kakehi memujuk mangsa minum sianida dengan niat membunuh.

Hakim menolak hujahan peguam, Kakehi tidak mampu melakukan jenayah kerana nyanyuk.

Kakehi dilapor mengumpulkan kekayaan satu bilion yen (RM36.8 juta) dalam bentuk bayaran sejak lebih 10 tahun tetapi kehilangan banyak wang disebabkan perdagangan kewangan yang tidak berjaya.

Media Jepun melaporkan wanita itu berkahwin empat kali dan enam kekasihnya mati secara misteri. -

Semasa ditemu bual Jiji Press bulan lalu, Kaheki berkata dia bersedia dihukum dan berikrar mati dalam keadaan senyum. - AFP