Tidak wajar iktiraf pelajar SPC: Keilmuan Nasional

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia tidak sewajarnya membenarkan pelajar Sekolah Persendirian Cina (SPC) memasuki pusat latihan di bawah kementerian berkenaan.

Pengerusi Keilmuan Nasional, Zambri Mohd Isa berkata, ini memandangkan sekolah berkenaan sejak dari awal penubuhan lagi enggan dan tidak mahu mengikuti aliran pendidikan kebangsaan.

"Keputusan Menteri Sumber Manusia M Kula Gegaran secara tidak langsung menggalakkan warganegara Malaysia untuk tidak mengikuti aliran pendidikan kebangsaan dan mengenepikan warganegara Malaysia yang menghormati dan mengikuti aliran pendidikan kebangsaan," katanya dalam satu kenyataan.

Tegas beliau, ia juga membelakangi aspirasi kerajaan untuk memperkasakan aliran pendidikan kebangsaan serta menidakkan keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan tidak mengiktiraf Pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam, termasuk pusat latihan dan kemahiran.

"Justeru, tindakan YB Kula adalah tidak wajar sama sekali dan ia mesti ditarik balik bagi mengelakkan kecelaruan terhadap sistem pendidikan dan juga menyebabkan aliran pendidikan sudah tidak lagi relevan pada rakyat Malaysia," katanya.

Sebelum ini, kerajaan memaklumkan bahawa pemegang sijil UEC layak untuk menyambung pengajian dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Kula Segaran berkata, pelaksanaan ini dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir tempatan.

Beliau berkata, bagaimanapun, mereka perlu menjalani Ujian Kecenderungan Kemahiran (UKK) terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian dalam bidang berkenaan.

Sijil UEC adalah peperiksaan dikendalikan oleh badan persendirian menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.

Artikel Berkaitan: