Harap bantu atlet paralimpik di peringkat akar umbi

No Image Caption
A
A
A

NASIB atlet paralimpik negara, khususnya di peringkat akar umbi akan lebih terbela dengan adanya Yayasan Atlet Paralimpik Malaysia yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Pengarah Bahagian Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN), Halimon Mohd Sood berkata, menerusi dana yang ada menerusi yayasan itu, atlet di negeri-negeri dapat menjalankan aktiviti sukan dengan lebih baik.

Menurut Halimon, atlet di peringkat negeri kebanyakan menghadapi kekangan kewangan, ekoran bantuan yang diterima tidak mencukupi untuk mereka menjalankan aktiviti, mahupun menyediakan kelengkapan latihan.

"Dengan adanya yayasan ini, ia bagus untuk bantu atlet-atlet paralimpik di negeri-negeri. Bantuan yang sedia ada tidak mencukupi untuk atlet menjalankan aktiviti sukan mereka.

"Kita memang ada peruntukan, tapi peruntukan itu biasanya tertumpu kepada persediaan atlet berprestasi tinggi, dan mereka yang menyertai kejohanan antarabangsa," katanya ketika ditemui selepas majlis pra pelancaran program 'My Voice My Nation Malaysia 2019' di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam sidang media berkata program My Voice My Nation Malaysia 2019 itu adalah acara 'edutainment' iaitu program pengucapan awam bermotivasi. Katanya, program yang akan diadakan pada 26 Jun di Arena Axiata, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil itu akan menampilan personaliti terkemuka dalam seni pengucapan awam dari dalam dan luar negara, terdiri daripada ahli politik, keusahawanan dan penghibur.

"Mereka akan berkongsi kisah dan ilmu, dari pengalaman hidup mereka untuk dijadikan sumber inspirasi kepada penonton," katanya.

Pada program itu juga nanti, turut akan dilancarkan Yayasan Atlet Paralimpik Malaysia dan skuad paralimpik juga akan membuat penampilan istimewa. - Bernama

Artikel Berkaitan: