PGA Sarawak rampas tong gas bernilai lebih RM200,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11 Sarawak mematahkan cubaan menyeludup keluar tong gas berisi LPG yang bernilai lebih RM200,000 dalam operasi ‘Op Batas’ di Tebedu, semalam.

Pegawai Pemerintah Superintendan Rosdi Inai berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pada jam 7.30 malam, sebuah lori yang membawa muatan tong gas LPG ditemui di kawasan tempat letak kereta.

“Hasil pemeriksaan, sebanyak 232 tong gas LPG ditemui, dua lelaki tempatan yang merupakan pemandu lori dan kelindan juga gagal menunjukkan lesen borong yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Batalion 11 Pasukan PGA, Jalan Batu Kawa, di sini hari ini.

Rosdi berkata, tong gas yang disembunyikan bersama barangan lain itu dipercayai cuba diseludup masuk ke negara jiran melalui jalan darat sebelum dipasarkan di sekitar Kalimantan, Indonesia.

“Kedua-dua lelaki yang berusia 28 dan 48 tahun itu kemudian ditahan dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Kenderaan dan gas LPG juga turut diserahkan kepada pihak KPDNHEP untuk siasatan lanjut,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat dinasihatkan untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi membanteras kegiatan penyeludupan.- Bernama

Artikel Berkaitan: