'Datuk', dua rakan dituduh palsu dokumen jual beli

No Image Caption
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan dua rakannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini atas pertuduhan pemalsuan dokumen jual beli rumah dua tahun lepas.

Pengarah Urusan syarikat hartanah, Datuk Khor Siang Gin, 49, Ketua Bahagian Pemasaran dan Jualan Thein Ling Yen, 41, dan Pengarah Eksekutif Tan Siew Feng, 50, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka di Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 8 Mei 2017, telah cuba menipu dan memperdayakan bahagian itu dengan cara mengemukakan dokumen jual beli palsu bagi tujuan mendapatkan kuota bumiputera sebanyak 30 peratus yang dianggar bernilai RM1.64 juta bagi projek Alila 2.

Dengan ini, ketiga-tiga mereka telah dituduh dengan curangnya cuba mendorong Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri Pulau Pinang untuk memberikan perlepasan kuota itu yang mana bahagian itu tidak akan memberikan perlepasan kuota itu sekiranya tidak diperdaya sedemikian.

Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya S.Selvaranjini, manakala tiga tertuduh itu diwakili peguam Oh Choong Ghee dan M. Puravalen.

Nizam membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Ketiga-tiga tertuduh membayar wang jaminan itu hari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: