Waran tangkap untuk Hasanah gagal hadir ke mahkamah

Hasanah
Hasanah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid yang dituduh pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta dikenakan waran tangkap selepas beliau gagal hadir pada prosiding pengurusan kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini.

Waran itu dikeluarkan Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas Timbalan Pendakwa Raya Mahadhir Mohd Khairudin mencadangkan tindakan tersebut susulan ketidakhadirannya tanpa alasan.

Mahadhir memohon supaya satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Hasanah, 61, kerana tertuduh dan kedua-dua penjaminnya tidak hadir.

"Tertuduh sebelum ini dilepaskan dengan jaminan dua penjamin dan tiada apa-apa arahan daripada mahkamah berhubung ketidakhadiran itu," ujarnya.

Peguam Nur Aifaa Mohd Zain yang mewakili Hasanah memohon maaf kepada mahkamah.

Nur Aifaa juga memaklumkan, Hasanah tidak hadir kerana pihaknya gagal memaklumkan tertuduh berkenaan prosiding hari ini.

“Saya memohon maaf atas kesilapan saya sebagai peguam, saya harus memaklumkan anak guam saya untuk hadir tetapi saya gagal untuk memaklumkan. Saya berharap anak guam saya tidak menerima sebarang kesan atas tindakan saya,” kata peguam itu.

Mahkamah bagaimanapun mengeluarkan waran tangkap itu dan menetapkan 26 Jun bagi prosiding sebutan waran tangkap dan notis kepada penjamin.

Artikel Berkaitan:

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.