Pas tak ajar ahlinya khianat, langgar peraturan: Tuan Ibrahim

A
A

1. Pas tak ajar ahlinya khianat, langgar peraturan: Tuan Ibrahim

PAS tidak pernah mengarahkan ahlinya untuk melakukan khianat, bahkan parti menetapkan peraturan dan disiplin supaya ahlinya termasuk unit berkaitan tidak terlibat dalam perkara yang bercanggah dengan undang-undang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu melibatkan kereta Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin dibakar masih dalam siasatan pihak polis.

“Sehingga kini, Suspek masih disiasat oleh polis. Pas terbuka dan turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana menasihati supaya tidak membuat spekulasi dan andaian yang boleh menganggu siasatan,” katanya.

Tegasnya, yang jelas Pas tidak mengarahkan ahlinya melakukan perkara jenayah dan mengharapkan siasatan adil kelak akan dapat membersihkan tuduhan-tuduhan seumpama itu yang mengaitkan Pas.

Sementara itu media turut melaporkan suspek utama insiden membakar kereta Mufti Perlis itu yang dikenali sebagai Zaini diberkas polis, kelmarin.

Menurut Ketua Polis Perlis, Noor Mushar Mohd, selain Zaini, polis turut memburu seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Mie Tomoi.

Hingga kini, lima suspek ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan dengan kesemuanya sedang direman.

2. UMNO, Pas bentuk kerjasama rasmi selepas Aidilfitri

Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Tertinggi Pas sudah mengadakan beberapa mesyuarat membincangkan mengenai piagam kerjasama dengan UMNO yang bakal menyaksikan satu perjanjian deklarasi antara dua parti itu ditandatangani selepas Aidilfitri nanti.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, kedua-dua jawatankuasa berkenaan sudah mengadakan mesyuarat dua hingga tiga kali, bagi membincangkan serta merangka beberapa perkara dalam piagam bersama untuk dibawa ke Jawatankuasa Induk untuk dibahaskan sebelum dimuktamadkan.

Tambahnya, piagam bersama UMNO untuk membentuk deklarasi bersama ini tidak memerlukan persetujuan Majlis Tertinggi Pas atau Majlis Syura Ulama kerana piagam kerjasama yang dibentuk ini tidak melibatkan kerjasama atau Tahaluf Siyasi dengan UMNO.

Sementara itu, Setiausaha Agong UMNO, Tan Sri Annuar Musa semalam berkata, memaklumkan kerjasama UMNO dan Pas bakal diperkukuhkan lagi dalam bentuk yang lebih rasmi selepas mementerai satu piagam kerjasama, tidak lama lagi.

3. Butang baju Melayu PDRM bukan untuk orang awam

Tindakan undang -undang termasuk pembatalan permit perniagaan menanti peniaga yang menjual butang baju Melayu berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada orang awam.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, kelengkapan dan peralatan pakaian seragam PDRM hanya boleh dijual, kepada pegawai polis termasuk Sukarelawan Simpanan Polis, Polis Bantuan, Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi dan Kadet Polis dengan menunjukkan kad sijil perlantikan.

Katanya, setiap peniaga yang berlesen dikehendaki mencatatkan butir pembeli menerusi buku daftar penjualan bagi mengelakkan butang baju Melayu itu dijual kepada orang awam.

“Proses itu tidak dapat dilakukan, sekiranya penjualan di buat atas talian, malah kesahihan status pembeli dan kad kuasa yang ditunjukkan secara atas talian juga tidak dapat dipastikan,” katanya.

Menurutnya lagi, tindakan undang-undang termasuk membatalkan permit perniagaan akan dikenakan terhadap peniaga yang ingkar.

4. Almarhum Sultan Ahmad Shah selamat disemadikan

Jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Muadzam Shah selamat disemadikan di Makam Diraja Pekan, pada pukul 4.35 petang semalam.

Jenazah Almarhum disemadikan bersebelahan pusara isteri baginda, Tengku Ampuan Pahang, Tengku Afzan Tengku Muhammad, yang mangkat pada 29 Jun 1988.

Suasana sayu menyelubungi Makam Diraja semasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah dan adinda baginda, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman masing-masing meletakkan batu nesan di pusara ayahanda berdua.

Turut kelihatan di Makam Diraja itu, Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob.

Usai istiadat pemakaman, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman membacakan talkin.

Beliau terdahulu mengetuai solat jenazah terakhir buat Almarhum diadakan di Masjid Sultan Ahmad Shah, yang terletak bersebelahan makam.

Almarhum Sultan Ahmad Shah, 88, yang juga Sultan Pahang Kelima dan pernah memegang tampuk pemerintahan negeri Pahang selama 45 tahun, mangkat di Institut Jantung Negara pada pukul 8.50 pagi rabu.

5. Tentera 'tawan' Jakarta

Puluhan ribu tentera dikerah ke Jakarta, semalam, menjelang tarikh akhir pencabar presiden memfailkan aduan rasmi di Mahkamah Perlembagaan mencabar keputusan Joko Widodo (Jokowi) memenangi pilihan raya presiden.

AFP melaporkan, Prabowo Subianto mempunyai masa sehingga esok untuk memfailkan aduan itu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) Khamis lalu, mengumumkan Jokowi memenangi pilihan raya dengan meraih lebih 85 juta daripada 154 undi, mengatasi Prabowo dengan kelebihan 10 peratus.

Prabowo, 67, mendakwa berlaku penipuan undi besar-besaran dalam pilihan raya 17 April lalu.

Dalam rusuhan malam kelmarin, perusuh memecahkan konkrit pejalan kaki, merosakkan papan tanda jalan raya dan membakar gerai serta melempar batu serta mercun ke arah polis.

Sekurang-kurangnya enam orang, termasuk seorang pelajar berusia 17 tahun terbunuh manakala ratusan lagi cedera dalam rusuhan antara penyokong Prabowo sejak kelmarin.

Hampir 60,000 anggota keselamatan, sebahagian besarnya tentera dikerah ke Jakarta, hampir sekali ganda berbanding dua hari lalu selepas Jokowi menegaskan kerajaan tidak lagi akan bertolak ansur terhadap rusuhan.