Sultan Brunei pulangkan ijazah Oxford

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah
A
A

LONDON - Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah memulangkan ijazah kehormat dari Universiti Oxford di Britain selepas mendapat kritikan seluruh dunia diketuai selebriti termasuk George Clooney dan Elton John kerana mencadangkan hukuman mati kepada pesalah gay dan zina.

Hampir 120,000 orang menandatangani petisyen pada April menggesa Universiti Oxford membatalkan penganugerahan ijazah kehormat undang-undang yang diberikan kepada sultan itu pada 1993, pemerintah monarki kedua paling lama di dunia yang juga perdana menteri kepada negara yang kaya hasil minyak.

Universiti Oxford berkata sultan itu memutuskan menyerahkan semula ijazah kehormat tersebut pada 6 Mei, sementara ia meneliti semula keputusan penganugerahannya.

Berita mengenai keputusan itu disiarkan semalam.

Negara terkecil di Asia Tenggara itu menerima kecaman global apabila ia menggubal undang-undang Islam pada 3 April yang menghukum pesalah liwat, zina dan rogol dengan hukuman mati termasuk direjam.

Selepas menerima bantahan, baginda awal bulan ini berkata hukuman mati tidak akan dikenakan dalam pelaksanaan kanun keseksaan itu. - Reuters