Tanaman guarana perlu diteruskan bantu pekebun kecil

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR - Guarana sebagai tanaman alternatif bagi menggantikan pokok getah perlu diteruskan untuk membantu pekebun kecil getah berikutan harga getah semakin jatuh pada masa kini.

Bekas pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kerajaan Pusat harus memberi segala bantuan kepada pekebun yang berminat menanam guarana dan tidak harus menyekat usaha mereka.

“Semasa saya menjadi pengerusi RISDA kita ke Brazil, tengok dan belajar cara serta kaedah penanaman guarana dan setelah setahun baru dijalankan tanaman percubaan.

Justeru, kerajaan sepatutnya hantar penyelidik ke Brazil untuk belajar lebih mendalam mengenai tanaman ini,” kata Zahidi kepada media selepas mengadakan perjumpaan dengan media di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Tanaman itu tidak mempunyai penyakit yang sukar untuk dikawal dan menanamnya secara komersial cuma pengusaha perlu diajar cara untuk mengawal serta pembajaan yang betul untuk mendapatkan hasil terbaik.

“Guarana sesuai menjadi tanaman sampingan yang saya yakin dapat menambah pendapatan pekebun kecil,” kata Zahidi dan menambah selain buahnya mencecah RM40 satu kilogram, daunnya juga boleh digunakan untuk membuat kosmetik.

Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata, permintaan terhadap guarana adalah tinggi.

Mengenai laporan akhbar bahawa ratusan petani menjadi mangsa penipuan individu bergelar Datuk yang membuat tawaran supaya melabur dalam projek tanaman guarana, beliau berkata isu itu tidak membabitkan Risda.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mengusahakan tanaman guarana tidak harus diserahkan kepada syarikat swasta kerana untuk membawa masuk benih guarana perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Beliau menambah syarikat yang menjanjikan pulangan lumayan kira-kira RM150 sekilogram termasuk membeli balik guarana mungkin dilakukan oleh ejen yang mengambil kesempatan berikutan permintaan terhadap tanaman itu semakin meningkat.

Mengenai cadangan kerajaan PH untuk melaksanakan tanaman ganja dan ketum, ia perlu dilihat dari sudut positif kerana kedua-dua tanaman itu boleh memberi pulangan yang tinggi, kata Zahidi.

Walaupun ganja diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ketum di bawah Akta Racun 1952, para penyelidik luar dan dalam negara telah mengesahkan ketum tidak berbahaya. - Bernama