Mercun, senjata api dan dadah fokus utama PGA dimusim perayaan

Acryl Sani (dua,kiri) bersalaman dengan Hasanuddin (kanan) pada Majlis Iftar Ramadan bersama anggota PGA di Markas Taktikal PGA Lubok Stol, semalam.
A
A

RANTAU PANJANG - Jenayah penyeludupan mercun, senjata api dan dadah menjadi fokus utama yang akan dibanteras oleh Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Wawasan di sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Pengkalan Kubor (Tumpat) ke Rantau Panjang sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ketiga-tiga perkara itu diberikan perhatian oleh pihaknya kerana ia boleh menggugat keselamatan negara.

"Saya telah arahkan PGA dan Pasukan Polis Marin (PPM) untuk melipat gandakan operasi dan memperketatkan lagi kawalan disepanjang kawasan sempadan.

"Ini bagi memastikan kita berjaya mengekang perkara tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar Ramadan bersama anggota PGA di Markas Taktikal PGA Lubok Stol di sini malam tadi.

Selepas berbuka beliau menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih bersama pegawai dan anggota.

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Khaled Che Lah, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah dan Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Superintanden Ramly Poncho.

Acryl Sani (dua,kiri) bersama Hasanuddin (lima,kanan) menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih bersama pegawai dan anggota, malam tadi.
Acryl Sani (dua,kiri) bersama Hasanuddin (lima,kanan) menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih bersama pegawai dan anggota, malam tadi.

Menurutnya, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan.

"Kita sedia maklum setiap kali tibanya musim perayaan akan berlaku peningkatan dalam aktiviti penyeludupan bahan terlarang terutama mercun.

"Bahan itu amat merbahaya dan sebelum ini kita sudah dengar ada yang jadi mangsa mercun. Sungguhpun begitu barangan terlarang yang lain, kita turut berikan keutamaan," katanya.

Acryl Sani berkata, beliau berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat kepada PGA dan polis dalam usaha mengekang aktiviti jenayah lintas sempadan dan penyeludupan.

Katanya, penyaluran maklumat ini bagi memudahkan penugasan pihak kami untuk mengekang aktiviti berkenaan.

PGA mula mengambil alih Op Wawasan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 20 April lalu.

Penugasan PGA bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat ke Rantau Panjang.