'Panjatkan doa agar dipertemukan malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan'

USTAZ MOHD JAAFARUDIN
USTAZ MOHD JAAFARUDIN
A
A
A

MENDAMBAKAN malam Lailatulqadar, namun tidak pernah berdoa memohon kepada ALLAH SWT agar dipertemukan dengan malam istimewa.

Itu teguran terbuka pendakwah Ustaz Mohd Jaafarudin Md Ali terhadap sikap segelintir umat Islam yang memandang ringan malam yang cukup istimewa pada bulan Ramadan itu.

"Kita tak minta dengan ALLAH untuk jumpa dengan Lailatulqadar. Ia ibarat kita cari barang yang hilang tanpa meminta petunjuk dengan ALLAH. Bagaimana hendak jumpa?

"Justeru, mulai sekarang, berdoalah kepada ALLAH 'Ya ALLAH, pertemukanlah aku dengan Lailatulqadar dan jadikanlah aku ada kekuatan untuk menghidupkan malamnya'. Maka, panjatkan doa agar kita dipertemukan dengan malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan itu," katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau menitipkan pesan agar umat Islam bijak memilih sama ada mahu merebut 'promosi' ALLAH SWT pada malam Lailatulqadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan atau tawaran hebat di kedai dan pasar raya yang menjual persiapan Aidilfitri.

"Ya, kita tidak boleh lari daripada fitrah. ALLAH berikan kita 'promosi' pada 10 malam terakhir Ramadan dan pada masa sama kita juga bergelut dengan 'promosi' jualan di sekeliling kita.

"ALLAH kurniakan kita akal untuk berfikir, pilihlah yang mana satu kita hendak. Promosi ALLAH atau promosi manusia?" soalnya.

Kepada satu soalan, Ustaz Mohd Jaafarudin berkata: "Kenal pasti kekuatan ibadah masing-masing. Contohnya, ada orang tak rajin solat sunat tetapi rajin mengaji. Jadi tingkatkanlah ibadah itu pada 10 malam terakhir Ramadan."

Artikel Berkaitan:

DAI HAMIDAH
DAI HAMIDAH

Sementara itu, seorang lagi pendakwah Ustazah Hamidah Ab Razak yang dikenali sebagai Dai Hamidah berkata, wanita yang datang bulan dan tidak boleh berpuasa masih berpeluang untuk mengumpul pahala dengan ibadah-ibadah lain.

Menurut beliau, antara yang boleh dilakukan adalah menyediakan makanan bagi orang yang bersahur dan membantu mengejutkan orang lain bersahur. "Ia termasuk dalam amalan yang sangat besar pahalanya bagi wanita haid dalam bulan Ramadan.

"Kebaikan walau sekecil apapun akan jadi bernilai kerana dilipat gandakan segala amalan dalam bulan Ramadan," katanya.

Ia sebagaimana di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang memberi makan orang yang berbuka puasa, dia mendapatkan pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa sedikit pun." (Riwayat at-Tirmizi)

Bukan itu sahaja, ujar Dai Hamidah, golongan itu juga dituntut memperbanyakkan zikir yang dapat melahirkan rasa cinta kepada ALLAH, mendengar bacaan al-Quran dan berdoa, selain menginfakkan harta.

"Jangan disangka hanya solat dan puasa sahaja sebagai ibadah. Ketidaksedaran ini membuatkan wanita yang datang bulan mati akal dalam mengisi masa yang berharga di dalam bulan Ramadan. Ingatlah bahawa ALLAH Maha Pemurah. Banyak peluang lain yang ALLAH sediakan buat hamba-hamba-Nya," ujar beliau.