Ilmuwan hipokrit zalimi masyarakat

A
A
A

DUNIA teknologi kejuruteraan perisian sentiasa menitikberat pencapaian, inovasi dan kreativiti. Penulis mendapati kian ramai pakar teknologi kejuruteraan perisian di seluruh dunia menjadikan al-Quran sebagai sumber inspirasi dan rujukan ciptaan terbaharu mereka.

Terbaru, tindakan kuasa terbesar dunia, Amerika Syarikat (AS) yang mengarah semua syarikat negara itu agar tidak menjual komponen dan perisian terkini kepada China khususnya Huawei pasti memberi kesan kepada perkembangan dan evolusi dunia kejuruteraan perisian.

Sudah pasti ada segelintir pakar perisian kejuruteraan tertentu yang akan mengambil kesempatan demi mengaut keuntungan berlipat ganda.

Berita terbaharu dari AS pasti menggembira kelompok masyarakat tertentu kepada sifat hipokrit atau munafik yang membelenggu hati mereka.

Huawei juga dilaporkan sudah mula merasai kesan perintah Presiden AS, Donald Trump. Google juga tidak lagi mahu menyokong perkhidmatan hardware dan sistem pengurusan Android Huawei. Google juga akan mengehadkan penggunaan aplikasi seperti Gmail, Maps dan Google Play kepada Huawei.

Tindakan Google dalam masa terdekat sudah pasti memberi tekanan hebat kepada Huawei – pengeluar telefon pintar kedua terbesar di dunia di belakang Samsung - gergasi Korea Selatan.

Sebenarnya, menerusi surah Al-Ahzab, ALLAH SWT telah memberi peringatan tentang persoalan dan keadaan emosi masyarakat Islam yang dimanipulasi ketika Perang Ahzab. Puak munafik yang memiliki penyakit iri hati tidak senang melihat kehidupan Nabi Muhammad dan pengikut yang semakin berkembang maju.

Surah Al-Ahzab bermaksud ‘golongan yang bersekutu’ Yahudi dengan golongan munafik melancarkan perang terhadap orang Islam ketika tempoh awal Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.

Artikel Berkaitan:

Penulis yakin `Perang Amerika-China’ ketika ini akan mewujud sebuah kelompok pakar kejuruteraan perisian yang bersifat talam dua muka, pak turut, bodek-membodek, puji melambung, suka mengampu dan warlord dalam kalangan orang berilmu.

Malaysia sendiri telah mengalami kesan daripada tuntutan teknologi apabila pakar dan jurutera perisian negara ini terlibat dalam pengurusan perlumbaan Formula Satu (F1) rentetan penglibatan Petronas dalam pasukan Mercedes.

Justeru, penulis yakin dalam masa terdekat akan ada pakar kejuruteraan perisian tertentu yang akan mendekati Huawei, tidak mustahil mereka yang ada kaitan dengan syarikat AS itu sendiri.

Sikap ini juga berleluasa di negara ini. Ada segelintir pakar yang mengaku mempunyai ilmu kejuruteraan terkini dan berpengalamanan luas merekabentuk serta melaksanakan projek secara praktikal, tetapi hakikatnya mereka tidak mempunyai ilmu kemahiran dalam bidang tersebut.

Namun, demi mencapai hajat untuk memperoleh projek pembangunan kejuruteraan, mereka sanggup menipu. Lembaga Jurutera Malaysia (BOM) dan Institut Jurutera Malaysia (IEM) ialah dua organisasi pemantau kegiatan 'jurutera nakal bersifat munafik' yang berdaftar demi menjaga keselamatan dan keharmonian masyarakat.

Kelompok 'jurutera nakal bersifat munafik’ sanggup merendah-rendahkan golongan profesional berkemahiran tinggi demi mencapai objektif mereka.

ALLAH menerangkan dalam Surah Al-Ahzab [33:1-2] jelas maksudnya, “Hai Nabi, bertakwalah kepada ALLAH dan janganlah kamu menuruti (keinginan) orang kafir dan orang munafik. Sesungguhnya ALLAH adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana; dan ikutilah apa yang diwahyukan Tuhanmu kepadamu. Sesungguhnya ALLAH adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Hakikat membuktikan insan yang dicaci itu sebenarnya lebih tinggi ilmunya sebagaimana amaran ALLAH dalam Surah Al-Ahzab [33:69-72] bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang yang menyakiti Musa; maka ALLAH membersihkannya dari tuduhan yang mereka katakan. Dan adalah dia seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di sisi ALLAH. Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada ALLAH dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya ALLAH memperbaiki bagimu amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu.”

Natijahnya, orang yang mengakui pakar dalam bidang apa sekalipun tetapi tidak mengamalkan ilmunya ialah golongan hipokrit. Mereka inilah yang menzalimi dan merosakkan masyarakat sekali gus menyebabkan kita menjadi mundur dan tertindas.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor