Berbeza agama, fahaman tapi masih aman: Sheikh Dr Abdullah

Syeikh Dr Abdullah (empat dari kanan) bergambar bersama jemaah Masjid Madinatul Ilmi Kuala Ketil selepas solat tarawih.
Syeikh Dr Abdullah (empat dari kanan) bergambar bersama jemaah Masjid Madinatul Ilmi Kuala Ketil selepas solat tarawih.
A
A
A

KUALA KETIL - Bertuahnya rakyat Malaysia kerana mempunyai sebuah negara yang aman, demikian menurut seorang warga Yaman yang dapat merasai pengalaman berpuasa di Malaysia sejak beberapa tahun lalu.

Syeikh Dr Abdullah Ali Al Yamani berkata, paling bertuah apabila rakyat negara ini boleh beribadah dengan selesa di mana-mana sahaja.

Menurutnya, tidak seperti di beberapa negara lain yang dilanda konflik dan hidup rakyat ditekan segenap sudut hinggakan terpaksa melaksanakan ibadah secara mengasingkan diri.

"Di negara-negara yang dilanda krisis, rakyat tidak boleh melakukan ibadah dengan aman. Mereka takut dibom, ditembak dan sebagainya.

"Adakalanya kita tidak tahu daripada mana peluru itu datang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya pekan Kuala Ketil di sini semalam.

Syeikh Dr Abdullah berkata, umat Islam yang tinggal di negara berperang juga tidak bebas melaksanakan ibadah seperti solat tarawih seperti di Malaysia.

"Mereka bukan sahaja terpaksa solat secara berasingan tetapi tidak boleh berkumpul beramai-ramai walaupun hanya untuk tunaikan kewajipan bersolat.

"Berbeza dengan Malaysia, walaupun berbeza parti politik, umat Islam boleh bersolat bersama dalam satu masjid," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keamanan di negara ini perlu dipelihara buat generasi seterusnya. Tambahnya, dua faktor penting keamanan di Malaysia dilihat kukuh ialah kerana umat Islam berpegang teguh kepada Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta wujudnya lima rukun negara.

"Umat Islam amat berpegang teguh kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan berpandukan Mazhab Imam Al Syafie yang masyhur. Perkara ini membuatkan umat Islam negara ini hidup dan beribadah dengan aman.

"Di samping itu, dengan adanya lima rukun negara ini, rakyat berbilang kaum dan pelbagai agama saling hormat menghormati.

"Asas lima rukun negara ini perlu dipegang kukuh hingga bila-bila. Jika salah satu daripadanya tidak dipatuhi, negara ini tidak akan dapat mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil dan kuat," katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia uga perlu mentaati pemerintah supaya kedaulatan negara kekal.

"Kerajaan sebagai ulul amri perlu dihormati selagi mana kerajaan tidak mengarahkan rakyat melakukan perkara yang melanggari perintah ALLAH SWT.

"Sekiranya ada masalah di antara rakyat dan kerajaan, ia perlu diselesaikan secara perbincangan bukan penentangan," katanya.

Syeikh Dr Abdulla juga mendoakan negara Malaysia sentiasa dipelihara ALLAH SWT dan aman sentiasa.

"Keamanan di Malaysia hasil kebijaksanaan pemerintah dan rakyat yang memahami cara hidup dan faham agama," katanya.