Jangan kita lupa legasi Sultan Ahmad Shah

Gambar kecil: Azizul Fahmi
Gambar kecil: Azizul Fahmi
A
A
A

KELMARIN, tanggal 22 Mei ketika seluruh umat Islam di negara ini meraikan sambutan Nuzul al-Quran, kita dikejutkan dengan berita kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.

Perkhabaran sedih itu sudah pasti meninggalkan impak besar terhadap arena sukan negara, apatah lagi bola sepak memandangkan baginda pernah menyandang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mulai 1984 hingga 2014.

Bagi penulis sendiri, nama Almarhum Sultan Ahmad Shah cukup sinonim dengan bola sepak. Bukan saja di Malaysia, malahan di peringkat antarabangsa. Selain memimpin FAM, baginda juga pernah menerajui Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Dalam tempoh tiga dekad itu, Almarhum Sutan Ahmad Shah menjadi pencetus beberapa kejayaan yang dilakar skuad bola sepak negara. Baginda boleh dianggap maestro kejayaan Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA edisi 1989, 2009 dan 2011; Pestabola Merdeka 1993 serta Piala Suzuki AFF 2010.

Sudah tentu, deretan kejayaan itu tidak mampu dicapai dengan ‘sentuhan emas’ baginda sehingga menjadi antara momen indah dalam lipatan sejarah bola sepak negara.

Kini pemergian Almarhum Sultan Ahmad Shah diratapi oleh seluruh rakyat Malaysia termasuklah peminat dan penyokong mahupun komuniti bola sepak tanah air.

Secara peribadi, penulis berpandangan, legasi yang ditinggalkan Almarhum Sultan Ahmad Shah tidak harus terhenti begitu saja.

Penyandang jawatan Presiden FAM ketika ini, Datuk Hamidin Mohd Amin harus menyambung ‘DNA’ bola sepak Malaysia yang pernah dibawa baginda sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Penulis percaya Hamidin sudah pasti mempunyai gaya tersendiri dalam mengangkat martabat bola sepak Malaysia berbekalkan pengalamannya.

Namun harus diingat, Hamidin dan saf kepimpinan FAM ketika ini tidak harus memandang sepi transformasi dan evolusi yang pernah dibawa Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Bercakap soal agenda pembaharuan, penulis juga harus memberi tabik hormat kepada Hamidin. Kira-kira tiga bulan selepas menggalas tugas sebagai Presiden FAM, beliau sudah merangka strategi tersendiri bagi mengangkat imej bola sepak Malaysia di mata dunia.

Cetusan idea Hamidin melancarkan Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM - F:30 pada Oktober tahun lalu wajar dipuji.

Mungkin ada ‘cakap-cakap’ mengatakan roadmap yang dirangka dalam tempoh 12 tahun itu tidak ubah sekadar retorik semata-mata.

Sebaiknya kita tidak harus terlalu cepat menjatuh hukum. Belum sampai setahun roadmap itu dilancarkan, sudah ada suara negatif yang mempertikai perancangan FAM. Semolek-moleknya, kita ‘tunggu dan lihat’ keputusan roadmap itu sekurang-kurangnya tiga tahun akan datang.

FAM sendiri sudah menetapkan perencanaan mereka – menjadi lima negara terbaik Asia menjelang tahun 2030. Tiga fasa dibuat bagi mencapai sasaran itu. Jadi tidak adil rasanya jika ada pihak yang awal-awal lagi membuat andaian tanpa menunggu masa betul-betul ‘masak’.

Tempoh 12 tahun itu satu sasaran yang realistik - mengambil kira situasi bola sepak negara ketika ini.

Bagi penulis, pelan itu penting supaya semua ahli gabungan FAM dapat melihat dengan lebih jelas hala tuju bola sepak negara.

Roadmap itu adalah agenda untuk negara, agenda untuk semua, agenda untuk pemegang taruh mahupun agenda untuk FAM. Jika ia mampu menghadirkan keputusan positif, apa salahnya jika kita sama-sama menyokong perancangan FAM.

Jika kena dengan gayanya, tidak mustahil kita seluruh peminat dan penyokong bola sepak tempatan dapat melihat Harimau Malaya beraksi di pentas Piala Dunia suatu hari nanti.

Apa sekalipun, kita tidak boleh menidakkan setiap kejayaan yang sudah terpateri kemas dalam lipatan sejarah bola sepak Malaysia sebelum ini adalah hasil usaha, titik peluh dan pengorbanan Almarhum Sultan Ahmad Shah serta barisan Presiden FAM sebelumnya.

Itu hakikat yang tidak boleh kita lupa sampai bila-bila.

Di kesempatan ini juga, penulis ingin merakamkan ucapan takziah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta kerabat Diraja Pahang dan seluruh rakyat Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah.

Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Al Fatihah.

* Azizul Fahmi Ahmad Zabidi ialah Penolong Editor Sukan Sinar Harian