Kak Linda sedekah nasi kerabu tumis percuma kepada orang ramai

Kak Linda (kanan) memberikan nasi kerabu tumis percuam kepada orang ramai di kampungnya.
A
A

KOTA BHARU - Pelbagai cara boleh dilakukan untuk bersedekah, terutamanya di bulan mulia Ramadan ini.

Ingin berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat, seorang pemilik katering Wan Azmalinda Wan Azemi, 36, atau mesra dipanggil Kak Linda mengagihkan makanan berbuka di kampungnya iaitu Kampung Jaya Pasir Hor, di sini.

Aktiviti tradisi tersebut diteruskannya dengan memberikan 250 bungkus nasi kerabu tumis kepada rakan-rakannya terutama kenalan di Facebook dan penduduk kampung.

Untuk menukar selera, kali ini Kak Linda memilih nasi kerabu untuk diagihkan, berbanding tahun lalu nasi dengan gulai kawah.

Mengulas lanjut, Kak Linda berkata, beliau merasakan cukup bertuah jika dapat memberikan orang ramai makanan percuma terutamanya mereka yang tidak mampu membeli menu yang disediakan.

“Alhamdulillah, dengan cara ini, saya mampu beri makan kepada mereka yang memerlukan. Mungkin ada di antara mereka yang tidak mampu, atau mungkin disebabkan kekangan lain. Jadi inilah peluangnya saya ambil untuk bersedekah.

“Saya juga tidak menghadkan jumlah nasi yang diambil, terpulang kepada mereka. Apa yang penting, semua dapat merasa.

“Sambutan yang diterima amatlah menggalakkan. Saya juga perlu menambah 50 bungkus lagi daripada 200 bungkus pertama kerana tidak cukup, walaupun baru setengah jam diedarkan,” katanya di sini hari ini.

Pemilik Citarasa Linda Katering (CLK) itu memberitahu, untuk kali ini, beliau memerlukan 20 ekor ayam dan 20 kilogram beras untuk penyediaan nasi kerabu tersebut.

"Semua orang kampung dan rakan-rakan yang nak nasi tersebut mereka akan bagi nama dan tunggu semasa sesi agihan tersebut. Buat masa sekarang ini, paling jauh pun kami terima tempahan dari Pantai Cahaya Bulan (PCB)," katanya.

Sementara itu, Mohd Helmy Awang, 32 tahun turut berpengalaman merasa nasi kerabu Kak Linda dan menganggap tindakan mulia tersebut perlu dicontohi semua pihak selepas ini.

“Terima kasih Kak Linda, beberapa hari yang lalu memang saya bercadang untuk membeli nasi kerabu tumis sebagaimana yang Kak Linda buat, Alhamdulillah, ALLAH SWT makbulkan impian saya.

“Saya harap Kak Linda meneruskan aktiviti ini setiap tahun dan dibantu dengan mereka yang berkemampuan untuk berkongsi sedikit rezeki di bulan Ramadan ini,” katanya.