LZNK peruntuk RM6.13 juta bantuan pendidikan

Zakaria (empat, kiri) bersama wakil-wakil penerima Bantuan Pendidikan Zakat Kedah.
Zakaria (empat, kiri) bersama wakil-wakil penerima Bantuan Pendidikan Zakat Kedah.
A
A
A

Alor Setar - Lebih RM6.13 juta diperuntukkan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bagi membantu golongan sasaran melalui Bantuan Pendidikan Zakat Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, peruntukan kewangan berkenaan diagihkan kepada penerima mengikut kategori masing-masing.

Menurutnya, Zakat Kedah menyalurkan lebih RM1.86 juta bantuan pembangunan Institusi Pondok Kedah 2019 untuk tujuh buah sekolah pondok di negeri ini.

Manakala, lebih RM1.4 juta dibelanjakan untuk membantu 34 buah sekolah agama rakyat melalui Bantuan Pengurusan Tahunan Sekolah Agama Rakyat 2019.

"Selain itu, Bantuan Dermasiswa pula bagi yang melanjutkan pelajaran ke Mesir diberikan kepada 329 pelajar membabitkan sebanyak RM1.7 juta manakala Bantuan Dermasiswa Melanjutkan Pelajaran ke Jordan sebanyak RM 104,000 diagihkan kepada 12 orang pelajar.

"Dermasiswa Melanjutkan Pelajaran ke Indonesia pula sebanyak RM 521,000.00 kepada 124 orang pelajar," katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Pendidikan (LZNK) di Dewan Sultan Badlishah Maktab Mahmud, Alor Setar hari ini.

Program tersebut dirasmikan Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Datuk Sheikh Abdul Rahman Abdullah.

Zakaria berkata, Bantuan Ihya Ramadhan turut disalurkan kepada Madrasah Nurul Islah Pondok Tuan Guru Haji Bakar sebanyak RM 35,000 manakala bantuan Biasiswa Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (UniSHAMS) pula sebanyak RM1.2 juta yang diagihkan kepada 55 pelajar.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis tersebut, bantuan projek khas pembangunan pendidikan Pulau Tuba turut disalurkan membabitkan RM25,000 bagi tujuan kerjasama dengan Yayasan Pelajaran Mara yang bakal dijalankan di SMK Langkawi, Pulau Tuba selama 3 bulan bagi calon SPM melibatkan 35 orang.

Manakala bantuan projek khas CEO @ School pula disalurkan sebanyak RM19,900 bagi tujuan melahirkan CEO Muslim professional yang pakar dalam bidang perakaunan melibatkan kerjasama Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Intan Syafinas (TISSA), Universiti Utara Malaysia (UUM) melibatkan 40 orang pelajar tingkatan 4 aliran tahfiz (akaun) daripada SMK Agama Kedah.

Syeikh Zakaria berkata, bantuan berkenaan diberikan untuk membantu meringankan beban dan keselesaan kepada penerima dalam membangunkan institusi pendidikan di Negeri Kedah khususnya.

Hadir sama wakil Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Syeikh Zainol Jamal dan Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah, Nik Azhan Hakim Nik Mahmood.