12 produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan hari ini membatalkan notifikasi terhadap 12 produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata, produk berkenaan ialah ‘3rd Series Yanko Whitening Cream Night Cream’, ‘5th Series Yanko Whitening Cream Night Cream’ dan ‘7th Series Yanko Whitening Cream Night’ daripada syarikat Lurveya Sdn Bhd.

Selain itu ‘Clair De Lune - P.Tuberose Day Cream’ dan ‘Clair De Lune - S.Involucrata Night Cream’ dari syarikat Laurustinus Sdn Bhd; ‘Dnars Nien Cream’ (Rohban Trade Sdn Bhd); ‘Glow Glowing N Glow’ dan ‘Glow Glowing T Treatment’ (Qalbu Ocean Enterprise).

Ia juga termasuk ‘VSL Beauty Care Toner A’ dan ‘VSL Beauty Care Toner B’ daripada syarikat Qemrich Sdn Bhd; serta ‘Dolly Glow Miracle Treatment Cream’ dan ‘Dolly Glow Luminous Night Cream’ (Nh Biz Resources).

Katanya kesemua produk itu didapati mengandungi antara lain chloramphenicol, sulfamethoxazole, trimethoprim, griseofulvin, metronidazole, ketoconazole, chlorpheniramine, hydroquinone dan tretinoin yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Penggunaan antibiotik (metronidazole, chloramphenicol, sulfamethoxazole, trimethoprim), antifungal (ketoconazole, griseofulvin) dan antihistamin (chlorpheniramine) tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan mudarat kepada kesihatan. “Sementara, penggunaan hydroquinone tanpa pengawasan profesional kesihatan, boleh menyebabkan kemerahan pada kulit, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif dan boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit,” katanya.

Beliau mengingatkan penjualan dan pengedaran produk-produk berkenaan adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, dan memberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedarannya serta-merta.

Katanya individu melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Artikel Berkaitan:

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” kata beliau.

Beliau berkata orang ramai yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik itu juga dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya, dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers. - Bernama