Sultan Selangor berbuka puasa bersama rakyat

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyerahkan sumbangan raya.
A
A

SEMENYIH - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berbuka puasa (Ihya’ Ramadan) bersama rakyat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), di sini tadi.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri sebanyak RM125,000 kepada 250 pelajar fakir miskin dan mualaf KUIS.

Rektor Kuis Prof Madya Datuk Dr Ab Halim Tamuri memaklumkan KUIS akan melahirkan seramai 2,500 orang graduan dalam pelbagai bidang menjadikan jumlah semasa pelajar KUIS ketika ini adalah seramai 8,259 orang.

"Sehingga tahun 2018, KUIS telah mengeluarkan seramai 18,546 orang graduan," katanya.

Ab Halim berkata, bagi membantu pelajar KUIS yang kurang berkemampuan, kutipan zakat dan wakaf sentiasa diperkasakan sejak 2014.

"Dalam tempoh lima tahun, KUIS sehingga April lalu, KUIS berjaya mengutip dana zakat sebanyak RM 7.2 juta, manakala jumlah kutipan wakaf KUIS dalam tempoh sama adalah sebanyak RM1.2 juta," katanya.

Beliau berkata, seramai 186 mahasiswa KUIS telah mendapat bantuan daripada pihak Lembaga Zakat Selangor berdasarkan bancian ke atas asnaf fakir dan miskin mengikut had kifayah.

"Bantuan bagi asnaf Mualaf pula seramai 66 orang. Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh penerima-penerima tersebut di samping memenuhi hak kepada mereka yang layak untuk menerima sumbangan," katanya.

Sultan Sharafuddin dan hadirin kemudian menunaikan solat Maghrib dan Isyak serta solat sunat tarawih berjemaah.