Kes bunuh Siti Kharina: Seorang suspek mungkin didakwa esok

Polis sebelum ini tidak mengetahui mengenai kewujudan rumah sewa yang didiami Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin.
A
A

SEPANG - Polis tidak menolak kemungkinan akan mendakwa salah seorang daripada tiga suspek kes bunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, di sebuah kondominium di Cyberjaya, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, siasatan sudah selesai dan telah dirujuk kepada pihak pendakwa raya.

Tanpa mendedahkan butiran suspek tersebut, beliau berkata, daripada tiga suspek ini, salah seorang akan didakwa, manakala dua lagi akan jadi saksi perbicaraan.

"Kita akan tuduh suspek ini esok sekiranya pendakwa raya membenarkan proses ini. Kalau dia (pendakwa raya) kata minggu depan, Isnin mungkin kita akan tuduh. Kita akan selesaikan secepat mungkin," katanya kepada Sinar Harian, selepas merasmikan Surau Al Medina di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiada info rumah sewa Siti Kharina

Suspek bunuh jururawat direman seminggu

Kematian Siti Kharina akibat luka hirisan di leher

Turut hadir adalah Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah serta pegawai kontinjen Selangor.

Mengulas lanjut, mengulas berhubung motif pembunuhan tersebut, Noor Azam berkata, siasatan masih dijalankan.

Katanya, bagaimanapun, polis telah memperoleh bukti utama bagi mengenal pasti motif kejadian.

Terdahulu, tempoh reman ke atas lelaki warga Nigeria yang juga suspek utama kes pembunuhan Siti Kharina dilanjutkan tujuh hari lagi bermula esok.

Perintah lanjut reman dikeluarkan Majistret A. Akhiruddin @ Boy Acho sehingga 30 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, tempoh reman bagi dua lagi suspek, iaitu seorang lelaki Pakistan berumur 38 tahun dan wanita warga Nigeria berumur 35 tahun yang turut ditahan berhubung kes itu turut dilanjutkan bermula hari ini hingga 29 Mei depan.

Siti Kharina yang dilaporkan hilang pada 8 Mei lalu ditemukan maut dalam keadaan tidak lengkap berpakaian dengan kesan kelar di bahagian dada, pada 15 Mei lalu.